SOKONG G57 HENTIKAN TUNDA DAN SAMAN KENDERAAN PADA WAKTU MALAM, BEBAS KERAH...

SOKONG G57 HENTIKAN TUNDA DAN SAMAN KENDERAAN PADA WAKTU MALAM, BEBAS KERAH 500 AHLI TURUN DEMO DI HADAPAN DBKK

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) yang membantah tindakan tunda dan saman terhadap kenderaan orang awam pada waktu malam di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Jurucakap BEBAS berkata, pihaknya melihat tindakan penguatkuasaan yang dilakukan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ketika ini semakin membebankan rakyat terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

Menurutnya, masalah utama yang dihadapi orang ramai ialah kekurangan kawasan parkir awam yang mencukupi khususnya di kawasan tumpuan seperti Night Market Api-Api, kawasan Pasar Malam DBKK, SAFMA, Wawasan Plaza, sekitar pejabat Sabah Tourism, Tanjung Lipat dan beberapa lokasi lain di bandar raya ini.

“Orang ramai mengadu terpaksa mengambil masa lama mencari parkir dan akhirnya meletakkan kenderaan di lokasi tertentu walaupun tidak mengganggu lalu lintas atau pengguna jalan raya lain.

“Namun mereka tetap dikenakan saman malah ada kenderaan yang ditunda walaupun tidak menghalang trafik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BEBAS menegaskan bahawa tindakan tunda dan saman sepatutnya hanya dilakukan terhadap kenderaan yang benar-benar menghalang lalu lintas atau membahayakan pengguna jalan raya lain khususnya pada waktu malam ketika aliran trafik jauh lebih rendah.

Menurut gabungan itu lagi, bayaran tunda yang mencecah sekitar RM350 jelas membebankan rakyat.

“Rakyat bukan sengaja mahu melanggar peraturan, namun mereka tiada pilihan kerana kawasan parkir awam yang disediakan tidak mencukupi,” katanya.

“Contoh paling mudah ketika orang ramai pergi menyaksikan pertandingan Dragon Boat di Tanjung Lipat kelmarin, 16 Mei, banyak kenderaan yang diparkir di tepi jalan tetap dikenakan saman oleh penguat kuasa DBKK.

“Masalahnya, kawasan sekitar Tanjung Lipat sendiri tidak menyediakan parkir awam yang mencukupi untuk orang ramai. Sepatutnya pihak penguat kuasa menggunakan budi bicara terutama ketika berlangsungnya acara rasmi atau program yang melibatkan kehadiran orang ramai.

“Penguat kuasa seharusnya membantu menyusun kenderaan supaya aliran trafik berjalan lancar dan bukannya terus mengeluarkan saman.

“Mana-mana kenderaan yang benar-benar menghalang lalu lintas atau membahayakan pengguna jalan raya lain, tindakan saman dan tunda sememangnya wajar diambil,” katanya.

Menurut BEBAS, situasi sama turut berlaku setiap kali penganjuran tamu hujung minggu di sekitar Gaya Street dan Api-Api apabila orang ramai terpaksa meletakkan kenderaan di lokasi tertentu kerana kekurangan parkir awam yang mencukupi.

“DBKK menganjurkan tamu di tengah bandar raya, namun kemudahan parkir untuk orang ramai pula tidak mencukupi. Akhirnya apabila orang ramai parkir di lokasi tertentu, mereka dikenakan saman.

“Persoalannya, mengapa tamu terus diadakan di kawasan yang sememangnya kekurangan parkir sedangkan terdapat lokasi lain seperti kawasan berhampiran Kompleks Sukan yang mempunyai kemudahan parkir jauh lebih banyak,” katanya.

BEBAS juga sekali lagi menyatakan sokongan terhadap tindakan Datuk Zulkarnain Mahdar kerana apa yang dibangkitkan beliau merupakan tindakan wajar selepas menerima banyak aduan daripada orang awam berkaitan isu saman dan tunda kenderaan di Bandaraya Kota Kinabalu.

BEBAS turut mempersoalkan tindakan saman yang didakwa masih dilakukan pada waktu malam dan hari Ahad walaupun perkara sedemikian jarang berlaku di bandar raya utama lain di Malaysia.

“Kesabaran rakyat ada batasnya,” tegasnya.

Sehubungan itu, BEBAS mengumumkan akan menggerakkan kira-kira 500 ahli gabungan NGO untuk turun berhimpun bersama G57 dalam satu demo aman di hadapan bangunan DBKK sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan yang dibawa oleh G57.

BEBAS turut mendesak Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) agar segera menilai semula pendekatan penguatkuasaan terhadap rakyat selain mencari penyelesaian lebih praktikal berkaitan isu parkir di bandar raya ini, atau sewajarnya meletakkan jawatan sekiranya gagal menangani masalah berkenaan dengan baik.