KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa lemas di Sungai Melangkap, Polumpung View Camp Site, Melangkap Baru di sini berakhir apabila kedua-dua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan meninggal dunia hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Zul Hakim Abdullah, 23, dan adiknya Daniel Abdullah, 18, dipercayai lemas ketika mandi di sungai berkenaan pada Sabtu.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 9.26 pagi sebelum sepasukan 13 anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 10.01 pagi, didapati benar terdapat dua mangsa dipercayai lemas di sungai berkenaan.
“Operasi SAR segera dijalankan di pesisir sungai menggunakan kaedah pencarian di permukaan air (water surface searching),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa pertama berjaya ditemui oleh pasukan bomba pada jam 10.18 pagi semalam, kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala operasi SAR diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang.
“Elge berkata, operasi SAR hari kedua dimulakan pada jam 8.50 pagi tadi dengan pencarian dibahagikan kepada tiga sektor membabitkan anggota bomba dan pasukan NGO Team Rafting.
“Sektor A melibatkan pencarian dari lokasi mangsa dilaporkan hilang sehingga ke Sondot View Camp sejauh 3.4 kilometer, manakala Sektor B dari kawasan SK Narinang ke Sondot View Camp sejauh 5.2 kilometer.
“Sektor C pula melibatkan pencarian menggunakan kaedah rafting dari lokasi kejadian sehingga ke Pekan Taginambur,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kedua akhirnya ditemui oleh orang awam pada jam 12.04 tengah hari di Sektor A, kira-kira 200 meter dari lokasi tempat mandi.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 12.30 tengah hari untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian dan operasi pencarian selesai sepenuhnya, operasi SAR ditamatkan pada jam 1.30 petang,” katanya.
Operasi itu turut membabitkan anggota daripada PDRM, KKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta NGO Team Rafting.






