Pesta Memancing UMS-Sepanggar Rancakkan Semula Aktiviti Perikanan Komuniti

Pesta Memancing UMS-Sepanggar Rancakkan Semula Aktiviti Perikanan Komuniti

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penganjuran Pesta Memancing UMS-Sepanggar 2026 dilihat sebagai langkah awal menghidupkan semula aktiviti memancing dan merancakkan ekonomi komuniti nelayan di Kampung Bangka-Bangka di sini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kementeriannya menyokong penuh usaha berkenaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan komuniti nelayan tempatan.

“Pagi ini kita melancarkan pertandingan memancing bersama UMS dan juga komuniti nelayan Kampung Bangka-Bangka. Di peringkat kementerian, kita menyokong usaha ini untuk menghidupkan semula aktiviti memancing di kawasan ini.

“Ini baru permulaan. Kita merancang pada masa akan datang untuk menggunakan bot-bot nelayan di kampung ini supaya peserta dapat turun ke lokasi memancing yang lebih sesuai, dan pada masa sama nelayan memperoleh pendapatan tambahan,” katanya ketika berucap melancarkan Pesta Memancing UMS-Sepanggar 2026 hari ini.

Beliau berkata, pihak kementerian akan terus bekerjasama dengan UMS serta Persatuan Nelayan Kampung Bangka-Bangka bagi memastikan aktiviti memancing dan perikanan di kawasan itu dapat disuburkan semula secara berterusan.

Menurutnya, pertandingan berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti nelayan, malah turut membantu kebajikan mahasiswa menerusi sumbangan kepada program dapur siswa.

“Melalui pertandingan ini sahaja, kita menyumbangkan kira-kira RM10,000 kepada program dapur siswa, khususnya bagi membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan,” katanya.

Jamawi berkata, sambutan terhadap program itu amat menggalakkan apabila kira-kira 300 peserta mengambil bahagian, melebihi sasaran awal seramai 200 peserta.

Katanya, peserta hadir dari pelbagai kawasan termasuk Brunei, Labuan dan pedalaman Sabah, selain turut disertai warga emas berusia lebih 60 tahun yang meminati aktiviti memancing.

Beliau turut menjelaskan kawasan perairan berkenaan sebelum ini terkenal sebagai lokasi memancing berpotensi tinggi, namun aktivitinya terhenti sejak pandemik Covid-19.

“Kawasan ini memang terkenal dengan ikan bersaiz besar kerana sebelum ini Jabatan Perikanan telah melepaskan tukun-tukun, menjadikannya kawasan pemuliharaan ikan yang sesuai untuk aktiviti memancing.

“Ada peserta memaklumkan mereka pernah memperoleh ikan merah dan ikan putih seberat antara empat hingga lima kilogram di kawasan ini, yang kebiasaannya hanya diperoleh melalui aktiviti memancing laut dalam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap usaha menghidupkan semula aktiviti memancing di kawasan berkenaan dapat diteruskan sekali gus memperkukuh sektor perikanan dan pelancongan rekreasi di Sabah.