Syarat Longgar Kemasukan Ke Negeri Ini Dari Labuan Punca Sabah Hilang Hak...

Syarat Longgar Kemasukan Ke Negeri Ini Dari Labuan Punca Sabah Hilang Hak Imigresen

0
SHARE

LABUAN – Syarat yang longgar untuk masuk ke Sabah dari Labuan terutamanya menggunakan kapal laut di Pelabuhan Menumbok mengakibatkan negeri Sabah hilang hak imigresen.

Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

“Tiada kawalan imigresen atau pemeriksaan terhadap penumpang, feri dan kapal laut yang tiba di Menumbok atau di terminal feri Kota Kinabalu, yang merupakan pintu masuk ke Sabah dari Wilayah Persekutuan Labuan…

“Ini adalah satu kelemahan yang serius. Terdapat laporan menyatakan warga asing, penjenayah dikehendaki dan unsur tidak diingini menyalahgunakan laluan ini untuk melarikan diri daripada undang-undang,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog bersama Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Labuan (Labuan KDCA) dan penduduk Sabah di pulau membincangkan perihal pelanggaran hak imigresen di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Maximus (berdiri) berucap pada sesi dialog bersama Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Labuan (Labuan KDCA) dan penduduk Sabah di Labuan…

Tambah beliau, warga asing turut mengambil kesempatan atas kelemahan tersebut untuk tinggal lebih masa di Sabah atau bekerja secara haram di negeri itu, yang bercanggah dengan undang-undang Imigresen dan syarat MA63.

Menurutnya perkara itu jika dibiarkan membolehkan kemasukan unsur-unsur yang tidak diingini, atau yang tidak layak untuk berada di Sabah.

“Peserta dialog turut menyarankan Kerajaan Sabah untuk mengambil langkah mengetatkan undang-undang atau menutup kelemahan mengikut undang-undang imigresen dan pada masa yang sama memulihkan hak MA63,” tegas beliau.

Maximus berada di Labuan untuk rangka lawatan rasmi selama tiga (3) hari bermula Jumaat, di mana beliau juga sempat mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Labuan dan Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina – Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) pada awal pagi Sabtu.