Dusun Labuk Telupid Akhirnya Miliki Rumah Tradisi KDCA – Jonnybone

Dusun Labuk Telupid Akhirnya Miliki Rumah Tradisi KDCA – Jonnybone

0
SHARE

PENAMPANG: Impian masyarakat Dusun Labuk di Telupid untuk memiliki rumah tradisi sebagai lambang identiti dan warisan budaya akhirnya menjadi kenyataan apabila pembinaannya kini berada di peringkat akhir dan dijangka siap dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid merangkap Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Jonnybone Kurum berkata, kewujudan rumah tradisi itu amat signifikan selepas sekian lama masyarakat Dusun Labuk di daerah berkenaan tidak mempunyai simbol fizikal bagi warisan budaya mereka.

“Hari ini saya mengambil masa untuk memantau proses pembinaan yang kini berada di peringkat akhir dan bakal siap tidak lama lagi.

“Setelah sekian lama tiada rumah tradisi (Kadazan Dusun Cultural Association) KDCA Telupid, akhirnya tercapai impian kita untuk memiliki sebuah rumah tradisi sebagai lambang identiti dan warisan budaya,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada 3 Mei lalu.

Menurut beliau, pembinaan rumah tradisi itu dapat direalisasikan hasil sokongan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang meluluskan permohonan KDCA Telupid.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden KDCA, Joseph Pairin Kitingan serta Ahli Majlis Tertinggi (AMT) KDCA Pusat atas kebenaran penggunaan tapak bagi pembinaan rumah berkenaan.

Jonnybone berkata, rumah tradisi tersebut diharap menjadi pusat pemeliharaan budaya dan kebanggaan masyarakat Dusun Labuk, selain berperanan sebagai warisan yang akan terus dipelihara oleh generasi akan datang.

“Semoga Rumah Tradisi ini menjadi pusat pemeliharaan budaya serta kebanggaan masyarakat, dan terus diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.