5 Orang PATI Indonesia Ditahan Dalam Ops Cegah PATI

5 Orang PATI Indonesia Ditahan Dalam Ops Cegah PATI

0
SHARE
Jongkong yang turut disita...(Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia Sabah)

TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot jongkong bersama lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Indonesia terdiri dari seorang tekong dan empat kru yang cuba memasuki negara melalui jalan laut Sungai Apas, sini, semalam.

Tangkapan sekitar jam 11.10 malam itu dibuat berikutan hasil maklumat risikan mengenai terdapatnya cubaan melintasi sempadan sewaktu lewat malam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, kesemua lima PATI lelaki yang ditahan berumur dalam lingkungan 32 hingga 52 tahun.

“Pemantauan melalui Ops Cegah PATI Selatan COVID-19 oleh bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan bot jongkong tanpa nombor pendaftaran tersebut yang bergerak dari arah sempadan perairan Indonesia – Malaysia menuju masuk ke perairan Tawau dalam keadaan mencurigakan…

“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati tekong dan kru tersebut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tekong juga gagal menunjukkan sebarang dokumen pendaftaran bot yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Anggota pasukan Maritim Malaysia Tawau bersama tahanan pendatang ading tanpa izin dari Indonesia…(Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia Sabah)

Kesemua PATI beserta bot jongkong seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan Akta Imigresen 1959/63 atas cubaan memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

Siba berkata kesemua barangan termasuk bot jongkong, enjin bot, barangan persendirian disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM20 ribu.

“Ujian saringan pengesanan COVID-19 turut dilakukan ke atas kesemua tahanan bagi mengambil langkah selamat agar tidak berlakunya penularan wabak COVID-19 yang dikhuatiri dari negara jiran…

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di Perairan Timur Sabah (ESSZONE),” tambahnya.