Selepas Dimandi Ala Jenazah, Remaja Curi Tabung Masjid Dipenjara Dan Denda RM4,000

Selepas Dimandi Ala Jenazah, Remaja Curi Tabung Masjid Dipenjara Dan Denda RM4,000

0
SHARE
Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur sebelum ini iaitu pada 14 Jan 2022 lalu memberi hukuman penjara 10 hari dan didenda RM4,000 kepada Daniel Iskandar,19, yang mencuri tabung masjid...

PETALING JAYA – Seorang remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat cuba mencuri tabung masjid, hari ini dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19, yang memakai kemeja T berwarna biru selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang pada 11.58 malam, 8 Jan lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

“Mengaku salah,” kata remaja lelaki itu dalam keadaan bersahaja ketika ditanya jurubahasa mahkamah sama ada dia mengaku salah atau tidak.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Nik Mohd Fadli turut menegur tindakan tertuduh yang cuba mencuri tabung masjid kerana ia perbuatan yang salah.

“Tahu apa salah awak? Duit orang bagi untuk masyarakat dan pembangunan masjid, awak curi letak dalam bilik jenazah pula. Harap benda ini jadikan satu pengajaran dan kesedaran pada awak,” kata Nik Mohd Fadli.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 9 Jan lepas dan dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam supaya memberi pengajaran kepada tertuduh serta mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan sama.

Peguam Azman Abdullah, yang mewakili Daniel memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama kali anak guamnya serta dia telah insaf.

“Anak guam saya memohon maaf kepada mahkamah dan pihak masjid. Alasan dia (cuba mencuri) kerana dia perlukan duit untuk membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis. Dia cuba meminta kepada orang tetapi mereka tidak boleh tolong…

“Anak guam saya merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik dan ibu bapanya telah bercerai sejak dia berusia lapan tahun. Dia tinggal bersama datuknya berusia 70-an dan kehidupan mereka bukan senang. Makan dan minum juga daripada sedekah jiran-jiran,” kata Azman yang merupakan peguam pro bono (tanpa bayaran atau sukarela).

Menurut Azman, meskipun tertuduh salah, tindakan pihak-pihak mengambil video seperti yang tersebar menerusi laman sosial adalah tidak wajar kerana telah menyebabkan tekanan kepada tertuduh dan keluarga.

Tangkap layar (screenshot) satu video yang tular pada Isnin baru-baru ini yang memaparkan seorang remaja dimandikan seperti ‘jenazah’ selepas ditangkap kerana mencuri tabung di sebuah masjid…

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang merupakan siak di masjid itu telah pergi ke masjid dan mendapati tabung masjid tiada. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki telah merosakkan tabung masjid sebelum mengheret dan menyembunyikan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.

Pengadu bersama ahli jawatankuasa masjid mengesyaki lelaki itu tinggal berdekatan masjid dan apabila mereka membuat rondaan di sekitar kawasan itu, mereka ternampak seorang lelaki yang sama dengan rakaman CCTV lalu menghampirinya dan bertanya adakah dia memecah masuk dan mencuri tabung masjid berkenaan.

Lelaki itu kemudiannya mengaku bahawa dia melakukan perbuatan itu menyebabkan ahli jawatankuasa masjid menangkapnya dan menghubungi pihak polis.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tular dalam media sosial apabila video berdurasi satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah serta dia dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.

– BERNAMA