SANDAKAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menerusi sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis menzahirkan solidariti dengan menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di daerah ini melalui program Sentuhan Kasih Mangsa Kebakaran hasil sumbangan awam dan ahli parti.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata, bantuan tersebut disampaikan di Dewan Sibuga Jaya selepas konvoi bantuan dilepaskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di perkarangan Lapangan Terbang Sandakan.
“Bersama pimpinan Pemuda, Wanita dan Beliawanis Gagasan Rakyat, kami telah menyerahkan bantuan hasil sumbangan awam dan sayap parti kepada mangsa kebakaran di Sandakan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Program berkenaan turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, selain pimpinan sayap parti termasuk Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda dan Ketua Beliawanis, Cik Emmie Martin Idang.
Azrul berkata, kejayaan misi bantuan itu adalah hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk penyumbang, pimpinan parti serta sukarelawan yang terlibat dalam usaha penghantaran dan pengagihan bantuan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang serta barisan pimpinan tiga sayap dan para sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan misi bantuan ini,” katanya.
Beliau menegaskan usaha berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Gagasan Rakyat dalam membantu rakyat yang terjejas, selain memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.






