Eksesais SAMUDRA LAKSAMANA Memperkukuh Perhubungan Diplomasi Pertahanan Malaysia-India

Eksesais SAMUDRA LAKSAMANA Memperkukuh Perhubungan Diplomasi Pertahanan Malaysia-India

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kapal Tentera Laut India (TLI) kembali ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu bagi menyertai eksesais bilateral bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dikenali sebagai Eksesais SAMUDRA LAKSAMANA.

Eksesais yang dilaksanakan secara lapangan atau Field Training Exercise ini telah berlangsung pada 25 sehingga 28 Mei hari ini melibatkan INS SATPURA daripada TLI dan dua (2) buah kapal TLDM iaitu KD PERAK dan KD BADIK.

Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, B.N. Reddy turut melakukan lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Armada Timur serta melakukan kunjungan singkat kepada Panglima Armada Timur Laksamana Madya Dato’ Sabri Zali pada 26 Mei.

Majlis perasmian eksesais telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Armada Timur Laksma Dr Najhan bin Md Said pada hari yang sama.

Dalam ucapan perasmian eksesais, Laksma Dr Najhan menekankan kepentingan eksesais bilateral seperti ini bukan sahaja mampu meningkatkan hubungan diplomasi pertahanan dan malah ia turut dapat memberi keyakinan kepada komuniti maritim antarabangsa.

Eksesais telah dimulakan dengan Fasa Pelabuhan pada 26 hingga 27 Mei, merangkumi perbincangan operasi di antara pegawai operasi kapal, aktiviti sukan persahabatan, pertukaran informasi dalam bidang kepakaran masing-masing, majlis resepsi di kapal dan taklimat sebelum pelayaran.

Seterusnya, kapal yang terlibat telah menjalani latihan Fasa Laut di perairan Laut Cina Selatan hari ini.

“Antara siri latihan utama yang telah dilaksanakan merangkumi siri manuvra taktis (tactical maneuver), penembakan sasaran permukaan statik (surface static target firing) dan pendaratan helikopter di kapal (helicopter deck landing)…

“Pelaksanaan Eksesais SAMUDRA LAKSAMANA antara TLDM dan TLI pada kali ini telah berjaya dilangsungkan melalui kesefahaman prosedur operasi maritim dan ianya juga turut memberi impak yang positif kepada hubungan diplomasi pertahanan di antara Malaysia dan India,” menurut Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Timur Sabah dalam sebuah kenyataan hari ini.