EMPAT TERAS PERJUANGAN GRS JADI NILAI TAMBAH PELAKSANAAN AGENDA SAYANGI SABAH –...

EMPAT TERAS PERJUANGAN GRS JADI NILAI TAMBAH PELAKSANAAN AGENDA SAYANGI SABAH – HAJIJI

0
SHARE
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS berucap pada majlis Pelancaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini (28 Mei 2022)...

KOTA KINABALU, SABAH – EMPAT (4) teras perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi nilai tambah pelaksanaan Agenda Sayangi Sabah, demikian menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berucap demikian pada majlis Pelancaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

“Dengan penubuhan GRS sebagai entiti politik rasmi, pelaksanaan Agenda Sayangi Sabah akan ditambah nilai melalui empat teras perjuangan GRS yang meliputi Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu),” katanya.

Menurut Hajiji, Sabah First adalah teras perjuangan PERTAMA yang melibatkan matlamat SERAMPANG DUA MATA; iaitu bukan sahaja meletakkan hak dan kepentingan Sabah pada unjuran teratas, tetapi juga misi untuk menganjak status Sabah pada kedudukan teratas dalam pelbagai aspek pembangunan.

“Teras Sabah First akan menjadi pegangan kita dalam menyusul dengan teliti setiap perkara dalam siri perundingan yang sedang rancak berjalan melalui pelbagai platform dan diselaraskan di bawah Mesyuarat Majlis Khas MA63…

“Kita akan terus perjuangkan, bukan sekadar pelaksanaan keseluruhan hak dan kepentingan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, malah hak dan kepentingan yang hadir dan terjamin bersama Perjanjian Malaysia 1963. Kita berpendirian semangat dan prinsip MA63 itu sentiasa hidup dan relevan hingga hari ini dan masa depan,” jelas beliau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS melakukan gimik pelancaran GRS di SICC, Kota Kinabalu, hari ini…

Teras perjuangan KEDUA iaitu Sabah Forward adalah penting untuk membentuk pemikiran, menghalakan perspektif dan memimpin tindakan kita secara strategik dan berfokus dalam membawa Sabah Melangkah ke Hadapan, membina masa depan negeri.

“Jangan kita terbelenggu dengan retorika politik berpanjangan yang tidak membawa kita ke mana-mana. Jangan biarkan romantika sejarah semata-mata akhirnya membawa kita berundur jauh ke belakang…

Kesedaran bahawa Sabah sudah jauh ketinggalan tidak akan membawa kita ke mana-mana sekiranya tidak diterjemahkan dengan keinsafan untuk melaksanakan perubahan,” jelas Hajiji.

Pengerusi GRS menambah teras perjuangan KETIGA adalah Sabah Prosper yang dimaknai dengan kesunggguhan dan komitmen kita untuk melaksanakan serta menjayakan Agenda Sayangi Sabah melalui pelan pembangunan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita sedar, melihat kepada penerimaan rakyat kepada hala tuju yang bersandarkan kepada slogan jata negeri ini, ada pihak yang cuba mewujudkan persepsi negatif dengan mengetengahkan isu-isu tertentu untuk menafikan signifikasi Hala Tuju SMJ,” jelas beliau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS bersama pemimpin parti gabungan itu, menunjukkan logo GRS pada Majlis Pelancaran GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, hari ini…

Tambah beliau, Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah satu misi perjalanan panjang menuju satu destinasi bersama iaitu membina negeri yang lebih maju dan berjaya.

“Sesebuah Kerajaan memerlukan perancangan kerana sekiranya kita tidak merancang, kita sebenarnya merancang sebuah kegagalan. Hala Tuju Sabah Maju Jaya telah dibina untuk mengisi vakum yang ditinggalkan oleh pentadbiran yang lalu…

“Sungguhpun mewarisi trend kemerosotan ekonomi dan ditambah dengan cabaran pandemik COVID-19, kita berupaya bangkit melalui pelan pembangunan ini,” tambahnya.

Teras terakhir iaitu yang KEEMPAT adalah Sabah United yang mana kana mewujudkan Sabah yang bersatu di mana perjuangan Sabah First, Sabah Forward dan Sabah Prosper terdahulu harus bergerak seiring.

“Ramai di kalangan kita adalah sebahagian daripada legasi politik Sabah yang membawa di mana kita berada pada hari ini.

“Cukup-cukuplah kita berpecah dan dipecahkan. Jangan biar perbezaan melebarkan jurang di antara kita. Atas keinsafan itu, GRS seharusnya membawa citra kesatuan. GRS perlu terbuka kepada semua pihak yang berkongsi agenda dan teras perjuangan yang sama…

“Kita bersyukur kerana titik persamaan itu membawa kita kepada permuafakatan dan hari ini GRS telah didaftarkan secara rasmi dengan keanggotaan empat komponen parti,” kata Hajiji.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS bersama pemimpin parti gabungan itu bergambar bersama-sama ahli-ahli parti dan penyokong yang menghadiri majlis pelancaran GRS di SICC,Kota Kinabalu, hari ini…

Dalam pada itu, Hajiji turut menyatakan bahawa GRS juga harus digerakkan dengan berpandukan kepada DUA (2) prinsip politik.

“PERTAMA, prinsip Politik Pembangunan yang mengutamakan pencapaian dan bukan janji retorika politik yang tidak berkesudahan; iaitu results over rhetoric. Prinsip ini telah menjadi pegangan saya dalam memimpin Kerajaan Negeri. Berulang kali saya tegaskan bahawa nilai dan makna agenda pembangunan Kerajaan bukan hanya boleh diDENGAR, tetapi seharusnya dapat diLIHAT dan diRASAI oleh rakyat…

“Politik Pembangunan yang bernilai dan bermakna perlu digerakkan seiring dengan Prinsip Politik Akomodasi (PRINSIP KEDUA). Kita perlu sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan bertindak secara akomodatif demi membina solidariti dan kesatuan rakyat,” jelas beliau.

Politik Akomodasi bermaksud keterbukaan untuk bekerjasama dengan semua atas kepentingan dan matlamat yang sama. Prinsip ini mengajak kita mencari titik persamaan untuk permuafakatan yang menyatukan, bukan perbezaan dan
persaingan yang memecahkan.