KOTA KINABALU, SABAH – Akta Laut Wilayah 2012 (TSA 2012) adalah tidak terpakai ke atas negeri Sabah dan pelantar benua turut kekal berada di dalam wilayah Negeri seperti yang telah di dalam North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.
Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh berkata tuntutan terbabit telah direkodkan secara rasmi sebagai perkara yang “tidak boleh dirunding” di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (Majlis MA63) yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 12 September lepas.
Menurutnya, walaupun terdapat perkembangan signifikan dalam Majlis MA63 berkenaan dengan tuntutan dan hak negeri yang lain, tuntutan berkenaan TSA 2012 dan pelantar benua masih kekal dalam senarai “setuju untuk tidak bersetuju”.
“Timbalan Perdana Menteri turut menyatakan bahawa perkara ini akan terus dibincangkan di peringkat tertinggi di antara Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.
“Sehubungan dengan itu, Jabatan ini akan kekal komited dalam mempertahankan
pendirian kerajaan negeri dalam perkara ini secara berterusan.
“Berkenaan dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah menolak permohonan
Jabatan untuk bertindak sebagai amicus curiae dalam kes mengenai tuntutan laut
wilayah baru-baru ini, jabatan ini menghormati sepenuhnya keputusan Hakim Mahkamah Tinggi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, malam ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) juga telah memberi sokongan kepada jabatan ini untuk memberikan bantuan dalam kes, namun
Peguam Negara Persekutuan telah membantah perkara tersebut.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan ia bergantung dengan budi bicara mahkamah untuk menentukan sama ada bantuan pihaknya diperlukan atau tidak dalam menyelesaikan pertikaian undang-undang di antara kedua-dua pihak ini.
“Dalam kes ini, mahkamah telah membuat keputusan yang sebaliknya.Walaupun dengan keputusan ini, jabatan akan terus ikhlas menawarkan sokongan untuk memberikan pandangan perundangan rasmi negeri berkenaan dengan perkara ini yang melibatkan kepentingan awam.
“Jabatan ini juga ingin memberi jaminan
bahawa kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan kes ini dengan teliti.
“Seperti yang dinyatakan juga dalam keputusan mahkamah, masih lagi terbuka bagi kerajaan negeri untuk melibatkan diri sebagai pihak dalam prosiding undang-undang tersebut.
“Pilihan ini akan dipertimbangkan dengan teliti bersama semua pilihan ang lain bergantung kepada keputusan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 mengenai perkara ini,” katanya.