KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatat 335 KES baharu COVID-19 kelmarin (Ahad) yang mana terdapat lagi TIGA (3) kluster baharu yang dikenal pasti.
Jurucakap COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata angka itu mencatatkan penurunan sebanyak 43 kes iaitu daripada 378 kes sebelum ini pada Sabtu.
“Dua (2) kes kematian direkodkan hari ini di daerah Tawau dan Lahad Datu. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat,” kata beliau.
‘Kluster Eioz Selatan’ membabitkan daerah Kota Kinabalu, Tuaran, dan Penampang merupakan penularan jangkitan di tempat kerja melibatkan kakitangan Servay Express Warehouse di KKIP Selatan Kota Kinabalu.
“Kebanyakan kes positif terdiri daripada pekerja dari daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran, malah telah merebak kepada generasi kedua iaitu ahli keluarga kepada kakitangan di gudang terbabit…
“Kes indeks adalah pekerja am, lelaki, 23, tinggal di Taman Sri Rugading Tuaran disahkan positif COVID-19 pada 03 Jun, setelah mengalami gejala sejak 31 Mei di Hospital Tuaran.
“Saringan kontak rapat terhadap 40 rakan sekerja dan ahli keluarga mengesan sembilan (9) lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 10 kes merangkumi tujuh (7) kes di Kota Kinabalu, dua (2) kes di Tuaran dan satu (1) di Penampang,” kata Masidi.
‘Kluster Kampung Kebayau’ membabitkan daerah Kota Belud dan Keningau berkaitan rapat dengan majlis pengembumian di Kampung Kebayau pada 26 Mei.
Kes indeks merupakan tukang bina rumah, lelaki, 26, bergejala demam, batuk, sakit tekak serta hilang deria bau dan rasa sejak 30 Mei sebelum disahkan positif COVID-19 pada 03 Jun.
“Hasil pengesanan secara aktif dan saringan telah dijalankan ke atas 112 individu dalam kalangan ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual. Daripada jumlah itu, 27 individu dikesan positif,” jelasnya.
‘Kluster Jalan Agaseh’ di Lahad Datu pula membabitkan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu sebuah syarikat kejuruteraan elektrik. Kluster ini mencatat tiga (3) kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 15 kes.
“Kes indeks adalah warganegara, wanita, 64, yang dikesan positif COVID-19 pada 09 Jun hasil saringan bergejala di Klinik Kesihatan Lahad Datu…
“Hasil pengesanan secara aktif, 51 kontak rapat telah disaring dan mengesan 14 lagi kes disahkan positif, manakala 36 kontak pula didapati negatif saringan pertama,” kata beliau.
Dalam pada itu, aktiviti SOP keagaaman, pengebumian dan taska atau pusat jagaan kanak-kanak dikemaskini dan akan mula berkuatkuasa pada 15 Jun (Selasa) ini.
SOP tersebut adalah seperti di dalam lampiran dalam bentik infografik berikut: