Empat Lot Kedai Alami 80 Peratus Kerosakan Dalam Kebakaran di Asia City

Empat Lot Kedai Alami 80 Peratus Kerosakan Dalam Kebakaran di Asia City

0
SHARE

KOTA KINABALU: Empat lot kedai di kawasan One Stop, Asia City di sini mengalami kerosakan sehingga 80 peratus dalam satu kebakaran yang berlaku malam tadi.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9 malam sebelum sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.

Menurut beliau, pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada jam 9.06 malam dan mendapati kebakaran melibatkan empat lot kedai jenis kekal berukuran 40 x 80 kaki persegi.

Setibanya pasukan di lokasi, didapati kebakaran melibatkan empat lot kedai dan kemusnahan dianggarkan sekitar 80 peratus daripada keseluruhan premis yang terjejas.

“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat atau mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan oleh anggota dari BBP Kota Kinabalu dengan bantuan BBP Lintas dan BBP Penampang menggunakan lima aliran pancutan sepanjang 500 kaki.

Katanya, sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke premis lain.

Seramai 36 anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan pelbagai aset termasuk tiga Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah Water Tanker, kenderaan utiliti serta unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

“Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.08 malam sebelum ditamatkan pada jam 11.37 malam setelah pemeriksaan menyeluruh dijalankan dan tiada lagi bahaya lain dikesan di lokasi kejadian,” katanya.

Turut membantu dalam operasi itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.