PRN17: Utamakan Kepentingan Parti, Bukan Peribadi Semata-mata – Hajiji 

PRN17: Utamakan Kepentingan Parti, Bukan Peribadi Semata-mata – Hajiji 

0
SHARE

TUARAN: Jentera dan seluruh ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diingatkan untuk memberi keutamaan dalam usaha memenangkan parti itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keutamaan itu penting apabila keputusan calon sudah dimuktamadkan dan seluruh jentera perlu bekerja keras tanpa memikirkan kepentingan peribadi semata-semata.

“Saya berharap kepada ahli-ahli parti kita apabila kita sudah buat keputusan muktamad, mereka mesti kerja kuat tanpa memikirkan kepentingan pribadi dan ketidakpuasan hati.

“Tetapi berilah keutamaan kepada kepentingan parti makna dia apabila kita putuskan siapa yang calon mereka mesti bantu untuk memenangkan calon berkenaan,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Pelancaran Jentera Penerangan Gagasan Rakyat di sini, semalam.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri turut menegaskan tanggungjawab jentera penerangan serta seluruh ahli untuk memerangi fitnah dan pembohongan di media sosial.

“Jadi jentera Penerangan ini mesti fokus menjelaskan kepada rakyat apa yang kerajaan sudah buat selama ini, kerana kalau kita tidak jelaskan kita takut nanti rakyat ada yang terpesong pemikirannya ataupun terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan pihak-pihak tertentu,” tegasnya.