KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut, Datuk Masiung Banah, membidas dakwaan tidak berasas yang disebarkan oleh pembangkang berhubung Projek Kilang Simen Tongod, sambil menegaskan bahawa projek tersebut tetap diteruskan demi kepentingan rakyat.
Masiung, yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, berkata pembangkang sengaja menyebarkan fitnah kononnya projek itu menyebabkan pembalakan haram, pelabur menarik diri dan menjejaskan alam sekitar.
“Tapak kuari ini bukan kawasan hutan. Ia hanya melibatkan 200 ekar, bukan ribuan seperti mereka war-warkan,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri beliau hari ini.
Menurut beliau, projek itu telah melalui proses Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dengan teliti dan mendapat kelulusan sebelum kerja-kerja pembersihan tapak dimulakan.
Malah, katanya, projek itu dipantau rapi oleh kementerian persekutuan termasuk untuk penggunaan teknologi hijau.
“Tiada pelabur yang tarik diri. Projek ini berjalan lancar dan akan menjadi pemangkin utama pembangunan di kawasan pedalaman,” tegasnya.
Kilang tersebut dijangka menghasilkan 5,000 tan simen setiap hari untuk memenuhi keperluan Sabah yang sering berdepan kekurangan bekalan.
Dengan sumber bahan mentah tempatan, harga simen juga dijangka turun sehingga RM2 sekampit, katanya.
Selain itu, projek itu akan menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan dan merangsang pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik serta air di kawasan termiskin negeri.
“Berbanding janji-janji kosong pembangkang yang gagal membawa perubahan sebelum ini, projek ini membawa penyelesaian nyata kepada kemiskinan dan kurangnya pembangunan di kawasan luar bandar,” tambahnya.
Masiung berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor komited memastikan manfaat projek tersebut dikongsi secara adil kepada penduduk setempat.
“Kami bukan sekadar bercakap. Ini bukti nyata usaha kerajaan membangunkan negeri ini. Jangan biarkan pembangkang yang gagal membawa kemajuan, terus menghasut rakyat dengan fitnah murahan,” katanya lagi.