Program Kesedaran Berkoperasi Di Kalangan Masyarakat Akan Diperluaskan 

Program Kesedaran Berkoperasi Di Kalangan Masyarakat Akan Diperluaskan 

0
SHARE
Ewon
Ewon selepas penyempurnaan Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi Zon Tamu Darat, Kadamaian di Mini Dewan Komuniti 5K Tamu Darat ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KOTA BELUD : Inisiatif untuk meningkatkan kesedaran berkoperasi di kalangan masyarakat akan diperluaskan ke seluruh negara menerusi penganjuran lebih banyak Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi (MASKOP).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata penganjuran program ini diharap membuka minda masyarakat mengenai manfaat melalui penubuhan koperasi, sama ada koperasi keluarga, komuniti atau yang berskala besar.

“Program ini kita akan teruskan di seluruh negara dengan niat untuk meningkatkan tahap kesedaran yang lebih baik di kalangan masyarakat terhadap pembudayaan berkoperasi sebagai salah satu platform untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Selain itu, ia juga membolehkan masyarakat itu memupuk semangat bekerjasama dan memberikan perkhidmatan yang diperlukan oleh komuniti yang menjadi anggota koperasi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi Zon Tamu Darat, Kadamaian di Mini Dewan Komuniti 5K Tamu Darat, di sini, semalam.

Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, bersama-sama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut mengalu-alukan penubuhan lebih banyak koperasi baharu di Mukim Tamu Darat.

“Saya difahamkan setakat hari ini, terdapat lapan koperasi ditubuhkan di Mukim Tamu Darat dan mereka boleh mendapatkan perkhidmatan yang ada di bawag agensi KUSKOP iaitu SKM dan IKMa.

“Program kesedaran (berkoperasi) yang dilaksanakan telah membuahkan hasil yang positif dengan peningkatan jumlah koperasi baharu yang didaftarkan di seluruh negara.

“Pada tahun 2023 sahaja, sebanyak 1,001 koperasi baharu telah didaftarkan, jumlah tertinggi dalam sejarah pendaftaran tahunan koperasi di Malaysia, berbanding tahun-tahun sebelumnya yang tidak pernah mencecah angka 1,000 pendaftaran koperasi baharu dalam satu tahun,” katanya.

Ewon berkata melihat kepada sambutan yang memberangsangkan ini, kementeriannya merancang untuk meneruskan program-program kesedaran berkoperasi di seluruh negara.

“Matlamat utama bukan sahaja meningkatkan bilangan koperasi baru, tetapi juga memperkasa koperasi sedia ada.

“Ini termasuk mengembangkan perniagaan dan perkhidmatan koperasi serta mengaktifkan semula koperasi-koperasi lama yang belum berfungsi secara aktif.

“Kementerian berharap dengan adanya sokongan berterusan, koperasi-koperasi yang telah ditubuhkan tetapi belum aktif dapat diaktifkan semula dan memainkan peranan yang lebih besar dalam memperkukuhkan ekonomi komuniti setempat,” katanya.