KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 212 kakitangan Yayasan Usaha Maju (YUM) mendesak campur tangan pihak kerajaan berkaitan supaya membantu menyelesaikan kemelut dalaman organisasi yang dikhuatiri akan melumpuhkan seluruh jentera pengurusan dan operasi YUM.
Mereka menuntut supaya Pengarah Urusan YUM Roseli Sindong segera berundur daripada jawatannya kerana ketidakupayaan mengurus YUM dengan baik selama menyandang jawatan itu.
YUM sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan Sabah telah beroperasi dengan baik dan sempurna selama 35 tahun.
Sumber berkata ia tidak pernah mengalami masalah yang memerlukan bantuan daripada pihak luar sehingga kemelut yang timbul memaksa pihak kakitangan YUM memerlukan bantuan berkenaan.
“Semua masalah ini ditimbulkan oleh Pengarah Urusan (PU) YUM sehingga lebih 90 peratus kakitangan iaitu seramai 212 daripada 238 kakitangan YUM telah mengambil keputusan menuntut beliau segera berundur.
“Keputusan ini adalah berdasarkan atas sebab-sebab yang dinyatakan satu persatu pada pautan ini
https://change.org/hartalyum2024.
“Sehingga 15 Ogos 2024, senarai penandatangan adalah berjumlah 812 orang dan dijangka akan terus bertambah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Selain dari masalah ketidakupayaan mengurus oleh pengarah berkenaan, sumber tersebut berkata, kakitangan YUM juga merasa resah dan bimbang kerana PU mendakwa bahawa pihak Lembaga Pemegang Amanah (LPA) telah memutuskan dasar bahawa; “YUM mesti berusaha mendapatkan keuntungan, memastikan bahawa YUM tidak bergantung kepada kerajaan untuk kelangsungan operasi dan mulai sekarang harus berusaha mendapatkan lebihan kewangan operasi untuk membiayai kos.
”Justeru itu, di mana perkara ini adalah jelas bertentangan dengan matlamat asal YUM sebagai sebuah badan Amanah yang diwujudkan oleh kerajaan negeri Sabah sejak tahun 1989 bagi membantu masyarakat termiskin di seluruh negeri ini.
“Setelah wujud selama 35 tahun, kami merasakan dasar untuk menjadikan YUM mengaut keuntungan dari orang miskin adalah perkara yang tidak bijaksana, apatah lagi YUM adalah merupakan jentera kerajaan yang sepatutnya membantu mereka,” tegasnya.
Beliau berkata, setakat ini tidak ada sebarang tindakan dari pihak kerajaan untuk membantu kemelut yang melanda seluruh kakitangan YUM walaupun perkara itu sudah diajukan kepada pihak berwajib pada awal bulan Ogos lalu.