Single Sesal Tak Bermakna ‘Buah Tangan’ Baharu Jaclyn Victor Kepada Peminat

Single Sesal Tak Bermakna ‘Buah Tangan’ Baharu Jaclyn Victor Kepada Peminat

0
SHARE
Jaclyn
Jaclyn Victor

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Jaclyn Victor bakal tampil dengan single baharunya, Sesal Tak Bermakna yang bakal dipersembahkan dalam Jaclyn Victor First Solo Concert pada 12 Oktober akan datang.

Dihasilkan Gerald Sellan dan Mux Ryzor selaku penerbit, Sesal Tak Bermakna turut menerima gabungan idea Adrian Puan bersama Gerald sebagai komposer.

Meski mengangkat judul Sesal Tak Bermakna yang secara kasarnya akan dikaitkan dengan penyesalan terhadap perbuatan lampau, Jaclyn bagaimanapun melihat ia daripada sisi berbeza.

Beliau juga mahu peminat melihat sisi berbeza dirinya selepas lebih dua dekad berlayar dan mengharungi gelombang arus muzik menerusi Sesal Tak Bermakna yang bernuansa gelap berbanding hit miliknya seperti Gemilang atau Kejutkan Aku.

Dibalut dalam genre balada pop ditemani melankolis dentingan piano, Jaclyn mendefinisikan Sesal Tak Bermakna sebagai semangat yang perlu ada dalam setiap individu setelah sesuatu perkara kurang baik berlaku.

“Mungkin bunyi Sesal Tak Bermakna seperti satu penyesalan terhadap perbuatan yang telah dilakukan tapi Sesal Tak Bermakna versi single kedua saya ini adalah bagaimana seseorang belajar di sebalik sesuatu yang berlaku dan berusaha menjadi lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Katanya lagi, Sesal Tak Bermakna yang menjadi single kedua selepas kejayaan Kejutkan Aku itu mengisahkan kebangkitan seseorang selepas cinta yang disemai tidak berbuah manis.

“Sesal Tak Bermakna adalah sebuah lagu cinta. Ia mengajar kita meneroka dan mengatasi penyesalan serta memaafkan diri sendiri. Saya juga berpegang kepada peribahasa ‘apa yang tidak membunuhmu, menjadikanmu lebih kuat.’ Dan itulah (roh) yang ada dalam Sesal Tak Bermakna,” katanya.