Tanam Semangat Cinta Tanah Air Dengan Lagu Patriotik – Redonah

Tanam Semangat Cinta Tanah Air Dengan Lagu Patriotik – Redonah

0
SHARE
Redonah
Redonah menerima cenderahati daripada Datu Roslin ( Sumber Foto: Ihsan pejabat Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri )

KOTA MARUDU, SABAH – Lagu-lagu patriotik perlu terus diberi sokongan dan penghayatan oleh orang ramai khususnya generasi muda bagi membangkitkan semangat cintakan kepada tanah air.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, perasaan cintakan tanah air perlu dipupuk sepanjang masa melalui pelbagai cara dan kaedah supaya semangat jati diri dalam kalangan rakyat tidak hilang.

“Melalui lagu-lagu patriotik pula kita dapat  menghayati nilai-nilai murni seperti  perpaduan, keharmonian dan semangat kebangsaan yang menjadi teras pembangunan negara kita.

“Lagu-lagu patriotik bukan hanya sekadar gubahan melodi dan lirik tetapi juga merupakan cerminan sejarah, budaya  dan aspirasi negara kita,” katanya.  

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik Warga Pendidikan anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu di Pentas Padang Kota Marudu semalam.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu, Datu Roslin Datu Siabok.

Redonah berkata, pertandingan nyanyian seperti itu juga bukan  sekadar  acara hiburan,  tetapi  merupakan  satu  platform penting dalam memupuk semangat  patriotisme dalam kalangan warga pendidik dan rakyat.

“Maka, marilah kita jadikan pertandingan  ini bukan sekadar persembahan, tetapi  satu manifestasi komitmen kita sebagai pendidik untuk terus menyemarakkan api patriotisme dalam diri kita dan generasi akan datang.

“Saya berharap  pertandingan ini akan menjadi  pemangkin kepada  usaha kita untuk memartabatkan lagu-lagu patriotik  dan seterusnya menyemarakkan  semangat cintakan negara  dalam  kalangan generasi muda,” katanya.