Beluran Berpotensi Lahir Saintis, Inovator Masa Depan – James

Beluran Berpotensi Lahir Saintis, Inovator Masa Depan – James

0
SHARE

BELURAN: Anak-anak di kawasan luar bandar termasuk Beluran mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai saintis, jurutera, penyelidik dan inovator masa depan sekiranya diberikan peluang, pendedahan serta bimbingan yang sewajarnya.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, lokasi bukan penghalang kepada anak-anak Sabah untuk menyerlah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM).

“Anak-anak di Beluran, di kawasan luar bandar dan di kawasan pedalaman juga mempunyai potensi yang besar. Mereka mempunyai bakat, kreativiti dan cita-cita.

“Apa yang mereka perlukan ialah peluang, pendedahan, bimbingan serta sokongan yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Program STEAMQuest Ignite 2026 Peringkat Zon Beluran sempena Borneo Festival of Ideas (BFOI) 2026 di Dewan Datuk James Ratib, Kampung Botition, di sini, pada Khamis.

Teks ucapan beliau disampaikan Setiausaha Politik, Justinus Jalang yang mewakilinya pada majlis berkenaan.

James berkata, STEAMQuest Ignite bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform pembelajaran yang memberi ruang kepada murid meneroka idea baharu, menjalankan eksperimen, menyelesaikan masalah sebenar dan mengaplikasikan ilmu secara praktikal.

Menurutnya, pendidikan STEAM penting dalam melahirkan generasi yang mampu berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif, selain memiliki kemahiran menyelesaikan masalah dan bekerja secara berpasukan.

Dalam era yang menyaksikan perkembangan sains dan teknologi berlaku dengan begitu pantas, kita tidak boleh hanya menyediakan generasi muda untuk dunia hari ini. Kita perlu menyediakan mereka untuk dunia yang bakal mereka hadapi pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik, teknologi digital dan analitik data menuntut generasi muda bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi mempunyai keupayaan mencipta serta membangunkan penyelesaian baharu.

Justeru, katanya, usaha memperkasakan pendidikan sains, teknologi dan inovasi tidak boleh tertumpu di bandar utama sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan ke daerah serta kawasan luar bandar di seluruh Sabah.

“Kita mahu memastikan tiada anak Sabah yang tercicir daripada peluang untuk mendapatkan pendidikan berkualiti serta pendedahan kepada perkembangan sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

James berkata, program berkenaan juga menjadi sebahagian usaha membina ekosistem pendidikan yang mampu mengenal pasti dan mengembangkan bakat muda Sabah sehingga ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, tidak mustahil murid yang menyertai program itu suatu hari nanti muncul sebagai saintis, jurutera, penyelidik, pencipta atau usahawan teknologi yang mengharumkan nama Beluran dan Sabah di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau turut mengiktiraf peranan guru sebagai pembimbing dan pencetus inspirasi serta menggesa mereka terus memberi ruang kepada murid untuk bertanya, mencuba, bereksperimen dan berfikir di luar kebiasaan.

“Dalam dunia sains dan inovasi, kegagalan merupakan sebahagian daripada proses untuk kita memahami sesuatu, memperbaiki kelemahan dan menghasilkan penyelesaian yang lebih baik,” katanya.

James turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti, termasuk peranan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi U-Science dalam membawa kepakaran serta pengalaman akademik lebih dekat kepada sekolah dan masyarakat.

Beliau berharap STEAMQuest Ignite 2026 menjadi pemangkin kepada lebih banyak program pendidikan STEAM di Beluran dan seluruh Sabah, sekali gus membuka laluan kepada murid untuk berkembang dari peringkat zon dan daerah sehingga ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.