KOTA KINABALU: Sabah perlu beralih daripada kebergantungan kepada eksport komoditi pertanian mentah kepada pengeluaran produk siap guna bernilai tinggi yang diproses daripada hasil tempatan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penerokaan dan pemerkasaan aktiviti hiliran perlu dijadikan budaya serta hala tuju bagi memaksimumkan nilai rantaian sektor agromakanan, meningkatkan pendapatan usahawan tani dan memperkukuh keterjaminan makanan.
“Kita perlu berubah daripada sebuah negeri yang bergantung kepada eksport komoditi pertanian mentah semata-mata kepada pengeluar dan pengeksport produk siap guna bernilai tinggi yang diproses berasaskan komoditi pertanian tempatan.
“Kita perlu beralih kepada penghasilan produk hiliran yang mempunyai nilai tambah yang tinggi. Ini secara langsung akan meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup komuniti petani, peladang, pekebun kecil dan nelayan kita melalui peningkatan nilai ekonomi hasil-hasil pertanian mereka,” katanya sempena pelancaran Bantal Lateks Lumi Borneo di sini pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.
Hajiji berkata, pelancaran bantal berkenaan membuktikan keupayaan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) mengoptimumkan sumber asli negeri. Usaha menghasilkan bantal menggunakan lateks tempatan itu adalah yang pertama di Sabah.
Beliau berkata, pemerkasaan aktiviti hiliran juga akan mewujudkan peluang pekerjaan, terutama kepada belia tempatan, dalam bidang pengeluaran, pembungkusan, logistik, pemasaran dan kawalan kualiti. Aktiviti itu turut membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk terlibat.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus menyokong semua sektor, termasuk industri getah di Sabah, agar dapat ditingkatkan sekali gus memberi pulangan kepada pekebun kecil getah.
“Saya percaya, dengan teraju kepimpinan dan kekuatan pengurusan, LIGS mempunyai peluang yang luas untuk menerokai produk hiliran lain seperti tilam lateks dan kasut getah.
“Jangan berhenti setakat bantal. Tingkatkan lagi usaha untuk mempelbagaikan pengeluaran produk-produk berkualiti tinggi yang berasaskan getah,” katanya.
Hajiji berkata, komuniti pekebun kecil getah pasti berbangga apabila lateks yang mereka hasilkan diproses menjadi produk akhir Bantal Lumi berasaskan kepakaran pasukan LIGS.






