KOTA KINABALU, SABAH – Sasaran 60 peratus (60%) populasi di negeri ini bagi mendapat suntikan lengkap vaksin COVID-19 dijadual mampu dicapai menjelang 21 September depan.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun pada 5 Ogos yang lalu memaklumkan bahawa sasaran itu berdasarkan kemampuan jangkaan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk memberikan sehingga 60,000 dos vaksin sehari.
“Atas andaian bekalan vaksin yang mencukupi terjamin, mengikut perancangan, JKNS boleh mengekalkan momentum melaksanakan pemberian vaksin dengan kadar yang cepat seperti sekarang…
“Ini bermakna 60 peratus penduduk Sabah yang perlu divaksin boleh memperolehi vaksin penuh atau lengkap dua dos suntikan menjelang 21 September 2021,” katanya dalam kenyataan itu.
Ini dapat dilihat setakat kelmarin (12 Ogos), sebanyak 32,738 suntikan baharu dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,148,682 orang bagi Dos 1 Fasa 2, manakala bagi Dos 2 Fasa 2 pula, sebanyak 22,499 suntikan baharu harian dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 460,235 orang setakat ini.
Dapat dirumuskan bahawa 55,237 dos vaksin telah diberikan pada kelmarin (12 Ogos) di Sabah menunjukkan angka pemberian dos harian menghampiri sasaran JKNS iaitu sebanyak 60,000 SEHARI untuk pemberian dos vaksin di negeri ini.
Menurut kenyataan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun malam tadi, lebih 1.2 juta atau 43.9 peratus (43.9%) penduduk dewasa di Sabah telah menerima suntikan pertama vaksin COVID-19.
Beliau turut memaklumkan bahawa 541,856 atau 19.6 peratus (19.6%) penduduk dewasa Sabah telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin tersebut, dan usaha sedang dilakukan bagi memastikan Sabah mencapai imuniti kelompok dengan 80 peratus (80%) sudah divaksin menjelang akhir tahun ini.