Pemandu Lori Maut Tersepit Dalam Kenderaan 10 Tan

Pemandu Lori Maut Tersepit Dalam Kenderaan 10 Tan

0
SHARE

LAHAD DATU, SABAH – Seorang pemandu lori maut di hospital selepas tersepit di dalam kenderaan 10 tan tersebut di KM 15 Jalan Lahad Datu-Tawau kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner, Rohan Shah Ahmad berkata mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit menghampiri lokasi kejadian.

Katanya, lori yang membawa muatan batu itu terbabas ke bahu kiri jalan dalam perjalanan ke Tawau dari Lahad Datu.

“Orang awam yang cuba membantu gagal mengeluarkan mangsa dari bahagian pemandu…

“Mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba Lahad Datu,” katanya mengulas kejadian pukul 3 petang itu.

Menurut beliau, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 4.50 di Hospital Lahad Datu.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa sendiri…

“Walaubagaimanapun, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Rohan meminta saksi kejadian untuk tampil menghubungi pegawai penyiasat trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi membantu siasatan.

“Sentiasa mengamalkan sikap sabar dan berhati-hati ketika memandu serta mementingkan keselamatan pengguna yang lain,” nasihat beliau kepada pengguna jalan raya.