GRS DILANCARKAN, FALSAFAH HASIL BERBANDING RETORIK JADI PEGANGAN

GRS DILANCARKAN, FALSAFAH HASIL BERBANDING RETORIK JADI PEGANGAN

0
SHARE
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS melakukan gimik pelancaran GRS di SICC, Kota Kinabalu, hari ini...

KOTA KINABALU, SABAH – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilancarkan sehari sebelum genap 20 bulan Kerajaan GRS – Barisan Nasional melaksanakan mandat rakyat pagi tadi.

Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, falsafah yang dipegang GRS mengutamakan hasil daripada retorik semata.

“Di sebalik Prinsip Politik Pembangunan yang kita laksanakan, GRS akan terus komited untuk melaksanakan aku janji dan membentangkan status pencapaian…

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS bersama pemimpin parti gabungan itu, menunjukkan logo GRS pada Majlis Pelancaran GRS…

Politik Pembangunan yang bernilai dan bermakna perlu digerakkan seiring dengan Prinsip Politik Akomodasi.

“Kita perlu sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan bertindak secara akomodatif demi membina solidariti dan kesatuan rakyat. Politik Akomodasi bermaksud keterbukaan untuk bekerjasama dengan semua atas kepentingan dan matlamat yang sama.

“Prinsip ini mengajak kita mencari titik persamaan untuk permuafakatan yang menyatukan, bukan perbezaan dan persaingan yang memecahkan,” katanya dalam ucapan pada majlis tersebut di Sabah International Convention Centre.

Selepas mengambil alih tampuk pimpinan hampir dua tahun yang lalu Hajiji, di kala ekonomi merosot dan dunia diserang pandemik COVID-19, GRS-BN berjaya melakar sejarah baharu dengan jumlah kutipan hasil tertinggi negeri (RM 5.44 bilion) sejak Kemerdekaan Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS bersama pemimpin parti gabungan itu bergambar bersama-sama ahli-ahli parti dan penyokong yang menghadiri majlis pelancaran GRS…

Kejayaan itu datang melalui agenda pembangunan negeri, Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang telah dibina untuk mengisi vakum ditinggalkan pentadbiran lalu.

Hajiji sehingga mendapat gelaran seperti “Ketua Menteri Senyap” atau “Ketua Menteri Diam” oleh kalangan netizen pada awal pentadbirannya kerana lebih fokus kepada pembangunan Sabah berbanding bercakap kosong.

“Dengan penubuhan GRS sebagai entiti politik rasmi, pelaksanaan Agenda Sayangi Sabah akan ditambah nilai melalui empat teras perjuangan GRS yang meliputi Sabah Diutamakan, Sabah Melangkah ke Hadapan, Sabah Maju Jaya dan Sabah yang Bersatu.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan bendera GRS kepada Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai…

“Sabah First adalah teras perjuangan bukan sahaja kita meletakkan hak dan kepentingan Sabah pada unjuran teratas, tetapi juga misi untuk menganjak status Sabah pada kedudukan teratas dalam pelbagai aspek pembangunan…

“Sabah First tidak bermaksud bahawa kita mengenepikan kepentingan nasional, namun sebagai wadah tempatan, amanah dan tanggungjawab besar kita adalah memperjuangkan kepentingan negeri sebagai keutamaan nombor satu.

“Kita yakin dan percaya, sebagai salah satu komponen penting negara, matlamat membina Sabah yang lebih maju dan berjaya perlu diangkat sebagai agenda nasional demi menjamin kemakmuran dan kelestarian Persekutuan Malaysia.

“Teras Sabah First akan menjadi pegangan kita dalam menyusul dengan teliti setiap perkara dalam siri perundingan yang sedang rancak berjalan melalui pelbagai platform dan diselaraskan di bawah Mesyuarat Majlis Khas MA63,” katanya.

Selain itu, beliau menasihati pemimpin lain untuk meletakkan kepentingan besar negeri mengatasi kepentingan diri dan kumpulan.

“Sedarlah bahawa kuasa politik itu adalah mandat dan amanah daripada rakyat untuk memperjuangan nasib mereka dan masa depan negeri tercinta,” tegasnya.

Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Pengerusi GRS selaku pemimpin komponen parti, Datuk Seri Maximus Ongkili (PBS), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (STAR) dan Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP).

Termasuk pemimpin komponen terbaharu, Tan Sri Pandikar Amin (USNO), kelima-lima mereka turut menyampaikan ucapan yang menyatakan arus politik baharu telah tiba di Sabah dengan tema kesatuan yang memanggil rakyat Sabah untuk bangkit.

“Saya menyeru diri saya serta semua para pemimpin awal dan segenerasi, marilah kita bersama merintis dan membina landasan perpaduan untuk diwarisi oleh generasi pelapis dan sekalian anak watan. Landasan itu adalah formula tempatan yang menyatukan kita semua melalui Gabungan Rakyat Sabah.

“Kita kuat apabila kita bersatu. Kita akan dihormati sekiranya kita kuat dan bersatu dalam membawa suara dan perjuangan negeri dan rakyat.

“Permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk kita di Sabah. Permuafakatan ini amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia,” Hajiji berkata.