Aplikasi CoreHalal Bakal Pacu Industri Halal di Sabah

Aplikasi CoreHalal Bakal Pacu Industri Halal di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Datuk Haji Yakub Khan berkata Aplikasi CoreHalal bakal memacu platform digital sistem pengurusan industri halal di Sabah.

Menurutnya, aplikasi ini dilihat bukan sahaja akan dapat memperbaiki pembangunan industri halal di Sabah malah turut memastikan rakyat Sabah tidak ketinggalan dalam merebut peluang menerusi pembangunan teknologi.

“Ia bakal memberi tumpuan kepada pengurusan risiko, audit dan latihan yang dibangunkan berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Platform digital ini juga mempunyai potensi besar kerana ia adalah satu-satunya platform digital yang menyediakan perkhidmatan sedemikian…

“Selain peringkat nasional, ia turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa seperti Australia, Jepun, Korea Selatan dan negara timur tengah,” katanya.

Sementara itu, Yakub turut memaklumkan satu memorandum persefahaman (MoU) antara Syarikat Synxsoft bersama Halal Development Corporation (HDC) dijangka akan dimeterai pada 1 September ini sempena World Halal Business Circuit di Melbourne, Australia.

“Terhasilnya pembangunan CoreHalal adalah bermula daripada inisiatif kerajaan mencari syarikat pemula teknologi tempatan melalui Program Pitchborneo anjuran KSTI. 

“Oleh itu, KSTI merasa sangat berbangga dengan pencapaian ini dan berharap kewujudan industri digital ini di Sabah akan dimanfaatkan sebaiknya oleh usahawan tempatan dan seterusnya membawa mereka ke peringkat global,” jelas beliau.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KSTi, Zainudin Aman dan Ketua Pengarah Eksekutif Synxsoft, Mazrie Mahat.