6 Kumpulan Berentap Sediakan Makanan Tradisi Sabah Di Dapur Keluargaku Bersama Produk...

6 Kumpulan Berentap Sediakan Makanan Tradisi Sabah Di Dapur Keluargaku Bersama Produk IKS

0
SHARE

PENAMPANG, SABAH – Enam kumpulan berentap dalam menyediakan masakan tradisi Sabah di acara Dapur Keluargaku Bersama Produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang diadakan sempena sambutan Pesta Kaamatan peringkat Negeri Sabah, di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di sini hari ini.

Pertandingan ini dianjurkan oleh Kaamatan TV dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).

Ia adalah salah satu inisiatif dalam mempromosi dan memperkenalkan produk makanan tempatan dengan lebih meluas lagi, di bawah IKS Sabah melalui sambutan pesta Kaamatan.

Antara peserta akhir pertandingan berkenaan ialah D’ Olundus, Steady Geng, Steady Sio, Rombituon, Rosipi T’ Odu dan Tinongkusan D’ Odu Aki.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam yang merasmikan acara ini berasa gembira kerana melalui penganjurannya, masakan tradisi dan budaya masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) dapat diperkasakan dan dipelihara. 

Sejajar dengan slogan kempen “Belilah Barangan Buatan Sabah, Mantap Bah ini Gaman”, katanya, kesemua peserta yang bertanding menggunakan produk keluaran usahawan tempatan Sabah.

“Ini secara langsung, dapat mempromosikan produk tempatan Sabah kepada mata dunia dengan lebih komprehensif lagi…

“Justeru, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, pihak Kerajaan akan sentiasa menyokong usaha yang dijalankan untuk memartabatkan IKS di negeri Sabah,” kata Dr. Joachim yang juga Ahli Majlis Tertinggi KDCA Sabah.

Beliau juga amat berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan melalui kerjasama penganjuran dan penglibatan dengan lebih banyak agensi lagi.

“Semoga program ini menjadi titik permulaan kepada usaha bersama untuk meperkasakan industri makanan melalui usaha sama dengan IKS,” ujarnya.

Dr. Joachim berkata, pelbagai sektor termasuk sektor ekonomi secara berperingkat dalam proses pemulihan.

“Ini telah menjadi titik permulaan dalam memperkasakan lagi promosi produk tempatan buatan Sabah. Oleh itu, penganjuran program Dapur Keluargaku bersama Produk IKS Sabah adalah amat sesuai dan dapat membantu memperkenalkan barangan buatan Sabah,” katanya.

Katanya, pada tahun ini, sambutan Pesta Kaamatan juga dapat disambut secara fizikal dengan kelonggaran lebih banyak prosedur operasi standard (SOP).

“Kita semua dapat merasai semangat pesta tahunan ini dengan lebih meriah lagi. Pertandingan seperti Dapur Keluargaku bersama Produk IKS Sabah merupakan aktiviti yang sangat sesuai dalam memperkukuhkan hubungan kita bersama sebagai Keluarga Malaysia. 

“Program ini bukan sahaja merupakan satu pertandingan memasak tetapi juga dapat menerapkan semangat setiakawan kita bersama,” katanya, sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menganjurkan program ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap MID, Thomas Logijin dan Pengerusi Kaamatan TV, Atama Ketama.