JOHOR BAHRU, JOHOR – Kompaun sebanyak RM1,000 dikeluarkan kepada seorang pengundi wanita yang positif COVID-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin atas sebab hadir ke pusat mengundi di Dewan Kampung Melayu, di sini, hari ini.
Inspektor Kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru mengambil tindakan itu setelah membuat pemeriksaan terhadap aplikasi MySejahtera milik wanita berusia 30an itu yang menunjukkan tanda merah…
Namun, wanita itu berkata dia tidak tahu bahawa dia dilarang untuk datang membuang undi ketika masih menjalani kuarantin setelah didapati positif COVID-19.
Katanya, berlaku salah faham setelah orang terdekatnya memberitahu dia masih boleh mengundi walaupun masih dalam tempoh kuarantin.
Inspektor Kesihatan, Mohd. Azrul menjelaskan kepada wanita itu bahawa semua individu yang positif tidak boleh keluar mengundi untuk menunaikan hak demokratik tersebut.
“Sebagai individu yang didapati positif, awak tidak boleh keluar rumah langsung apatah lagi untuk keluar mengundi di pusat mengundi melainkan rumah di dalam pusat mengundi.
“Kami menawarkan kompaun sejumlah RM1,000 dan awak perlu hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dalam tempoh masa 14 Hari,” katanya ketika menerangkan situasi itu kepada wanita terbabit.
Azrul juiga mengarahkan wanita terbabit segera pulang ke rumah selepas mengeluarkan kompaun tersebut.





