
KOTA KINABALU, SABAH – Perkhidmatan kaunter pandu lalu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mendapat sambutan memberangsangkan.
Menurut Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip, sebanyak 134 transaksi telah diurus melalui perkhidmatan tersebut pada hari perlancaran kelmarin (Jumaat).
“Transaksi melibatkan pembayaran cukai kadaran, kompaun, pembaharuan lesen perniagaan dan lain-lain.
“Sekali lagi DBKK mengalu-alukan orang awam untuk menggunakan perkhidmatan pandu lalu dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang berkuatkuasa,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Waktu operasi adalah pada setiap hari Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum di kawasan tempat letak kereta hadapan bangunan Ibu Pejabat DBKK (5 lot parkir khas) dari pukul 8 pagi sehingga 2 petang sahaja.
Perkhidmatan yang ditawarkan adalah, pembayaran am, cukai kadaran dan kompaun serta pembelian kupon letak kereta dan borang-borang.
Noorliza turut mengucapkan terima kasih kepada warga bandaraya Kota Kinabalu atas sambutan yang menggalakkan dan berharap usaha menambah baik perkhidmatan agensi terbabit dapat terus disokong.