KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Dato’ Sri Ruddy Awah menunaikan janjinya kepada peniaga di tepi Jalan Mempakad apabila menyumbangkan 10 lot gerai yang siap dibina kepada peniaga di daerah Pitas pada sabtu.
Gerai tersebut diberikan percuma kepada peniaga-peniaga berkenaan tanpa sebarang sewa dikenakan…
Ruddy yang juga Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah menjelaskan kos membina gerai termasuk gaji pekerja adalah atas inisiatifnya sebagai ADUN N3 Pitas menggunakan wang peribadi beliau.
“Saya menggunakan duit sendiri sekitar RM30,000 untuk membina gerai berkenaan untuk diberikan percuma tanpa sebarang sewa kepada peniaga-peniaga di situ,” katanya selepas menyempurnakan acara perasmian dan penyerahan gerai kepada peniaga di Kampung Mempakad.
Tambah beliau, sumbangan gerai ini adalah janjinya kepada peniaga-peniaga di situ iaitu sekiranya dipilih menjadi Wakil Rakyat Pitas, beliau akan membina gerai baharu yang lebih baik untuk mereka. Maka, hari ini sudahpun terlaksana.
“Saya berharap dengan adanya gerai ini dapat memberi keselesaan dan dapat membantu kepada peniaga-peniaga ini…
“Saya sentiasa berusaha untuk membantu apa sahaja yang termampu demi untuk rakyat,” katanya.
Beliau turut bercadang menambah lagi gerai di kawasan berkenaan mengikut kesesuaian tapak yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa.
Untuk rekod Ruddy yang pertama kali bertanding atas tiket BEBAS menang 2,918 undi dengan majoriti 599 undi mengalahkan calon BN Sufian Abd Karim (2,359 undi); Parti Warisan Sabah (Warisan) Shariff Azman (1,565 undi); PCS Sh Sahar Sh Ading (314) dan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Ilasam Nurkasim (114).