Kapal Laut Musnah Terbakar di Perairan Hadapan Pasar SAFMA

Kapal Laut Musnah Terbakar di Perairan Hadapan Pasar SAFMA

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebuah kapal laut jenis kapal ikan dilaporkan musnah 100 peratus dalam satu insiden kebakaran yang berlaku awal pagi tadi di perairan hadapan Pasar SAFMA. Walau bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 3.56 pagi dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu tiba di lokasi kejadian dua minit kemudian.

Menurut Komander Operasi, Judy Trisna, seramai 15 anggota dari BBP Kota Kinabalu telah dikerahkan ke lokasi bersama beberapa buah jentera termasuk FRT, EMRS, serta dua kenderaan jenis Vigo.

Operasi turut disokong oleh agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan 5 anggota, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 2 anggota, serta bantuan daripada orang awam.

Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 100 kaki, dua pancutan dari sumber air terbuka (laut), foam dan pam angkut.

Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.52 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.54 pagi setelah pemeriksaan lanjut mengesahkan tiada bahaya lain wujud di kawasan kejadian.

Keseluruhan operasi melibatkan seramai 17 anggota dari JBPM serta penggunaan pelbagai aset logistik bagi memastikan kebakaran dapat dikawal dengan cepat dan berkesan.

Ketua Balai BBP Kota Kinabalu, Ordine Gilu, boleh dihubungi di talian 010-9457748 bagi sebarang pertanyaan lanjut berhubung insiden ini.

JBPM Negeri Sabah mengucapkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat serta orang awam yang membantu dalam usaha menyelamat dan mengawal situasi.