Masjid Perlu Kuasai Kemahiran Digital dan AI Untuk Dekati Generasi Muda –...

Masjid Perlu Kuasai Kemahiran Digital dan AI Untuk Dekati Generasi Muda – Arif

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jawatankuasa masjid disarankan agar memperkasa diri dengan kemahiran digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan institusi masjid terus relevan dan mampu menarik minat generasi muda yang lebih celik teknologi masa kini.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS), Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, pendekatan digital bukan sahaja penting untuk menarik minat belia, tetapi juga boleh menjadikan masjid sebagai pusat bimbingan rohani yang lebih berkesan dalam era moden.

“Anak muda hari ini terdedah kepada pelbagai maklumat dalam sekelip mata. Masjid tidak boleh ketinggalan dalam mendekati mereka melalui medium yang mereka selesa dan fahami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Ibadah Korban sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Al-Kauthar, Tanjung Aru hari ini.

Menurutnya lagi, masjid juga harus memainkan peranan lebih proaktif dalam membina jati diri dan sahsiah generasi muda, bukan sekadar menjadi tempat ibadah semata-mata.

“Masjid wajar bekerjasama dengan pihak sekolah untuk membentuk sahsiah pelajar. Nilai bimbingan yang lahir dari masjid adalah lebih mendalam kerana ia berasaskan spiritual dan keagamaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar lebih banyak program keagamaan dan pembangunan kendiri digerakkan dari institusi masjid, termasuk ceramah agama, forum belia dan aktiviti menangani isu sosial seperti buli dalam kalangan remaja.

“Kita perlu kembali kepada panduan al-Quran dan hadis. Masjid adalah tempat membentuk generasi unggul, bukan sekadar lokasi untuk solat berjemaah,” ujarnya lagi.

Terdahulu, sebanyak 11 ekor lembu dan kambing telah disembelih dalam program korban berkenaan dan diagihkan kepada kariah serta penduduk setempat yang memerlukan.