Tujuh Peningkatan iPhone 18 Pro Yang bakal Diumum September Ini

Tujuh Peningkatan iPhone 18 Pro Yang bakal Diumum September Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Syarikat teknologi Apple dijangka memperkenalkan model baharu iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max pada September ini, dengan beberapa penambahbaikan termasuk Dynamic Island yang lebih kecil serta cip pemproses generasi baharu.

Berdasarkan maklumat yang tersebar dalam talian, model Pro bagi siri iPhone 18 itu dijangka mengekalkan reka bentuk yang hampir sama dengan iPhone 17 Pro, namun hadir dengan beberapa peningkatan dari segi prestasi dan kamera.

Antara perubahan utama yang disebut ialah saiz Dynamic Island yang lebih kecil selepas beberapa komponen Face ID dikatakan diletakkan di bawah paparan. Laporan mendakwa saiz elemen tersebut mungkin sekitar 35 peratus lebih kecil berbanding model sebelumnya.

Selain itu, iPhone 18 Pro Max juga dikhabarkan bakal dilengkapi ciri bukaan apertur boleh ubah pada kamera utama, menyerupai fungsi kamera DSLR. Teknologi itu membolehkan jumlah cahaya yang masuk ke sensor dilaraskan mengikut keadaan serta memberi kawalan lebih baik terhadap kedalaman medan (depth of field).

Dari segi prestasi, kedua-dua model Pro itu dijangka menggunakan cip baharu A20 Pro yang dibina menggunakan proses 2 nanometer. Cip tersebut dikatakan menawarkan peningkatan ketara dari segi kelajuan dan kecekapan tenaga.

Cip berkenaan juga dijangka digandingkan dengan komponen rangkaian baharu yang dipercayai dikenali sebagai N2, sekali gus meningkatkan prestasi sambungan Wi-Fi dan penggunaan tenaga.

Pada masa sama, Apple turut dilaporkan akan memperkenalkan modem selular C2 pada model Pro. Modem tersebut dijangka menyokong rangkaian mmWave 5G serta kemungkinan sambungan internet melalui satelit bagi memastikan liputan rangkaian lebih meluas.

Dari aspek bateri, iPhone 18 Pro Max dikatakan mungkin hadir dengan kapasiti sekitar 5,200mAh, sedikit lebih besar berbanding 5,088mAh pada model sebelumnya. Peningkatan itu bersama cip dan modem baharu dijangka membantu memanjangkan jangka hayat bateri.

Sementara itu, Apple juga dipercayai sedang menguji beberapa pilihan warna baharu seperti coklat, ungu dan burgundy bagi model Pro, walaupun warna akhir masih belum dimuktamadkan.

Laporan turut menyebut Apple berusaha mengekalkan harga iPhone 18 Pro dan Pro Max pada paras sama seperti model terdahulu walaupun kos komponen, termasuk RAM, semakin meningkat.

Strategi pengurusan kos dikatakan digunakan bagi mengelakkan kenaikan harga.