KOTA KINABALU: Program ‘KK Clean Up Day’ edisi kedua berjaya dilaksanakan oleh jaringan ‘LOVE KK Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)’ selepas program tersebut dilancarkan April lalu.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, edisi kali ini merangkumi kawasan sekitar Bandaran Berjaya Kota Kinabalu.
Katanya, program tersebut tidak hanya memfokuskan kepada pembersihan sampah sarap, tetapi juga meliputi aktiviti walkabout bertujuan untuk meninjau kawasan-kawasan yang perlu diperbaiki.
“Objektif utama program adalah untuk memastikan kebersihan, meninjau kesihatan persekitaran dan juga keceriaan serta mengenal pasti daya maju ekonomi sekitar bandaraya Kota Kinabalu.
“Jika dilihat, kawasan Bandaran Berjaya sudah mula menampakkan penambahbaikan dan terdapat banyak potensi ekonomi di kawasan sekitar antaranya perniagaan makanan dan minuman, pemborong barangan runcit dan sebagainya.
“Oleh yang demikian, kawasan ini seharusnya ditingkatkan dan diperbaiki tahap kebersihan serta keadaan persekitarannya dari masa ke masa,” katanya pada Sabtu.
Program tersebut bermula seawal jam 7.45 pagi itu disertai oleh seramai 715 orang termasuk penduduk dan pengusaha premis di sekitar kawasan Bandaran Berjaya, kakitangan dari pelbagai agensi dan jabatan kerajaan antaranya Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Selain itu, beberapa agensi bukan kerajaan seperti Sabah Electricity Sdn. Bhd., Pembinaan Kekal Mewah, Junior Chamber International (JCI) dan Berjaya Group juga terlibat dalam menjayakan program itu.
Sementara itu, Pengerusi Liveable Love KK. dan Pengerusi Malaysia Green Building Council (MGBC), Ar. Sim Sie Hong berkata, program seumpama ini akan memberikan banyak faedah kepada penduduk setempat terutama bagi mereka yang menjalankan perniagaan di kawasan sekitar.
“Sekiranya kawasan persekitaran bersih, maka perniagaan akan berjalan lebih lancar dan orang awam akan mula selesa untuk berkunjung ke kawasan tersebut.
“Saya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan di masa-masa akan datang dan MGBC sentiasa berbesar hati bersama-sama menyokong DBKK dalam menjayakannya,” katanya.





