ISTANBUL, TURKI – Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov dan Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, bersetuju untuk bertemu menerusi satu forum di selatan Turki Khamis ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, kepada media dengan pertemuan yang akan dihadirinya itu bakal diadakan di Antalya, lapor Reuters.
Pertemuan itu berpotensi menjadi rundingan pertama antara diplomat tertinggi sejak Russia melancarkan kempen serangan ke atas Ukraine.
Pengumuman itu juga hadir selepas gencatan senjata dua hari bagi membolehkan orang awam menyelamatkan diri di bandar Mariupol, gagal.
Dalam kejadian itu, ratusan ribu orang awam termasuk yang cedera terperangkap dalam serangan bom berterusan tanpa makanan dan minuman.
Turki yang juga negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), berkongsi sempadan maritim dengan Russia dan Ukraine di Laut Hitam, sudah beberapa kali menawarkan diri sebagai hos rundingan.
Ankara yang mempunyai hubungan baik dengan Moscow dan Kyiv menyifatkan pencerobohan dilakukan Russia sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima biarpun menentang tindakan sekatan terhadap Moscow.
Terdahulu, Kuleba dilaporkan berkata, beliau terbuka untuk mengadakan dialog bersama Lavrov jika ia membawa sebarang makna.





