Sebanyak 23 Lokaliti Dikenakan PKPD Di Sabah Bermula Rabu Ini

Sebanyak 23 Lokaliti Dikenakan PKPD Di Sabah Bermula Rabu Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 23 lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Rabu (25 Ogos) ini hingga 7 September 2021.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata PKPD di Sabah melibatkan Kampung Cenderamata 2 dan Kampung Cempaka di Likas, Kampung Inanam Laut dan Kampung Bambangan di Inanam serta Kampung Kelingau, Kampung Lapasan dan Taman Kuala Menggatal di Kota Kinabalu.

Empat lokaliti di Penampang melibatkan Delta Height, Kampung Sindaanan, Rainfield Garden dan Maju Kota Lights Industry di Jalan Lama Penampang manakala empat lagi di Tawau melibatkan Kampung Tanjung Batu Tengah, Taman Ranggu Saujana, Kampung Sungai Tamang di Pulau Sebatik serta Tanjung Batu Laut, Logpon turut dikenakan PKPD.

“Lokaliti lain di Sabah ialah Kampung Pelangi, Kampung Sri Manis dan Ladang Sungai Pin di Kinabatangan, Perumahan Ladang Felda Sahabat 55 dan Taman Perumahan Satu di Lahad Datu, Taman Limauan di Kinarut dan Kampung Mondikot di Papar, Ladang Mawang di Kalabakan serta Kem Sawmill (kilang papan) Mengayam Sri Arjuna di Sipitang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sumber Foto: Majlis Keselamatan Negara (MKN)…

Sementara itu, Rodzi berkata PKPD di Taman Kinarut Ria di Papar dan Kampung Kota Tuaran di Tuaran, Sabah dilanjutkan hingga 7 September.

Dalam pada itu, ENAM (6) lokaliti di Sabah ditamatkan pelaksanaan PKPD iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Balung dan PPR Taman Sri Titingan di Tawau; Kem 2 Tolokoson, Tenom; Kampung Sarikan, Nabawan serta Kampung Lapasan dan Kampung Timbok di Tuaran.