Israel Langgar Perjanjian Gencatan Senjata Dengan Pembunuhan 104 Penduduk Gaza

Israel Langgar Perjanjian Gencatan Senjata Dengan Pembunuhan 104 Penduduk Gaza

0
SHARE

GAZA CITY: Gencatan senjata antara Israel dan Hamas kembali hancur selepas serangan udara besar-besaran Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 104 penduduk Palestin di seluruh Semenanjung Gaza, termasuk 46 kanak-kanak dan 20 wanita.

Serangan malam Selasa itu menyasarkan rumah, sekolah dan bangunan kediaman di Gaza City, Beit Lahia, Bureij, Nuseirat dan Khan Younis.

Mengikut laporan BBC, saksi menggambarkan letupan kuat dengan “tiang api dan asap” menjulang di udara ketika kawasan perumahan dibedil tanpa amaran.

Israel mendakwa ia bertindak balas terhadap pelanggaran oleh Hamas, namun kumpulan itu menafikan terlibat dan menegaskan masih mematuhi perjanjian gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat.

Kenyataan Hamas menyifatkan serangan itu sebagai “jenayah perang dan pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian damai”.

Antara mangsa, lima sekeluarga Abu Sharar terbunuh apabila rumah mereka di kem pelarian Bureij musnah.

Di selatan Gaza, empat sekeluarga al-Banna ditemui mati di bawah runtuhan.

Pasukan pertahanan awam Gaza terus menggali runtuhan bagi mencari mangsa yang hilang.

Walaupun Washington menyeru agar perjanjian damai diteruskan, kenyataan Presiden AS Donald Trump bahawa Israel “berhak membalas” dilihat seolah memberi lampu hijau kepada serangan tersebut.

Penganalisis menyifatkan tindakan Israel itu sebagai pelanggaran disengajakan terhadap gencatan senjata untuk menekan Hamas dan mengalihkan perhatian daripada isu tahanan serta tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap rejim Tel Aviv.