KENINGAU: Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) N.40 Bingkor menegaskan pendirian untuk terus menyokong kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kestabilan politik, kemajuan pembangunan dan kesinambungan perjuangan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Pemudanya, Harry Philippus berkata, GRS terbukti sebagai gabungan paling stabil dalam memperjuangkan kepentingan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar seperti Bingkor.
Katanya, kestabilan politik penting bagi menjamin pelaksanaan dasar dan pembangunan yang adil serta menyeluruh.
Beliau menambah, perjuangan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dilihat semakin tersusun, termasuk dalam memperkukuh autonomi negeri serta memastikan pengagihan hasil dan pembangunan yang seimbang antara Sabah dan Semenanjung.
Harry berkata, pelbagai projek infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik luar bandar serta kemudahan pendidikan dan kesihatan yang dilaksanakan kerajaan negeri menunjukkan keberkesanan kerjasama antara parti-parti komponen GRS.
Pemuda PBS Bingkor, katanya, akan terus menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan serta memastikan suara golongan muda didengar.
Beliau turut menyeru penduduk Bingkor agar tidak terpengaruh dengan dakyah pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat dan menggugat kestabilan negeri.
“Kami kekal berdiri teguh di belakang kepimpinan Datuk Peter Jino Alliun dan Pemangku Presiden Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam untuk memperkukuh kestabilan politik dan memperjuangkan hak Sabah di bawah MA63,” katanya.






