KUALA LUMPUR – Dua ikon muzik Malaysia, Datuk M Nasir dan Faizal Tahir berduet dalam sebuah kolaborasi single terbaru mereka berjudul Campak Bintang terbitan Faithful Music Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd.
‘Campak Bintang’ adalah sebuah karya menyatukan pop dengan warisan budaya melayu yang membuktikan sinergi antara rentak muzik moden dan irama tradisional.
Dengan gabungan kreatif dari mereka telah menyatukan irama dan sentuhan ikonik dalam sebuah lagu yang mencengkam hati serta merentasi generasi.
Menurut Faizal, ‘Campak Bintang’ adalah lagu yang mengisahkan pengorbanan melepaskan sesuatu yang dicintai untuk mendapatkan sesuatu jauh lebih berharga.
Disamping itu, M Nasir menyifatkan kerjasamanya dengan Faizal sesuatu yang melegakan.
“Dunia muzik telah digegarkan oleh bakat seperti Faizal Tahir dan hampir juga ia diselamatkan generasi ini.
“Lega kerana ada sang pengkarya yang tidak habis-habis melahirkan karya-karya baru yang berkualiti sejak kemunculannya, Lagu ini, sumbangan kami berdua, adalah satu manifestasi,” katanya.
Sebuah video klip bagi single ini telah dibuat penggambarannya pada 19 April yang lalu bertempat di Cine Studio.
Single ini telah dilancarkan di semua saluran digital dan muzik videonya di saluran YouTube rasmi Faizal Tahir pada 3 Mei lalu.