KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik psychedelic tempatan, Ramayan, sekali lagi mewarnai skena muzik tempatan dengan pengumuman pelancaran single terbaru mereka, Samudera.
Single ini merupakan satu ‘pemanasan’, sebelum pelancaran album penuh terbaru mereka yang dinamakan ‘Ini Adalah Ujian Transmisi’.
‘Samudera’ muncul sebagai titik pertemuan kedua selepas single pertama mereka, ‘Dendang!’ yang telah menerima sambutan yang menggalakkan dari para peminat muzik tempatan sejak pelancarannya pada Disember tahun lalu.
Dalam rentetan kisah cinta dan karya seni, lagu ini diilhamkan oleh Pi’e, sebagai satu surat penghargaan kepada isterinya.
Marine, nama isteri Pi’e, merujuk kepada lautan, sesuatu yang disampaikan dengan penggunaan perkataan bahasa Sanskrit tersebut, yang pada dasarnya adalah salah satu asal-usul bahasa Melayu.
“Dengan lagu ini kami ingin membawa pendengar ke dalam sebuah kisah tentang penghargaan yang mendalam terhadap kebesaran hati seorang wanita, lebih-lebih lagi seorang isteri ataupun ibu, yang sebesar lautan itu sendiri.” kata Pi’e.
Meskipun awalnya dianggap sebagai trek bonus dalam album kerana keunikan bunyinya yang berbeza daripada yang lain, Samudera akhirnya mengambil tempat terhormatnya dalam senarai lagu utama.
Ramayan tidak hanya ingin menghibur, tetapi juga ingin membawa pendengar melalui sebuah perjalanan spiritual yang mendalam melalui single ini.





