Warga Asing Ditahan Bersama 200 gram Syabu di Semporna

Warga Asing Ditahan Bersama 200 gram Syabu di Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah apabila polis menemui lebih 200 gram syabu dalam satu operasi di Kampung Sri Jaya, Pulau Bum Bum, minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Jaafar Hakim berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 11.30 pagi selepas pihaknya menerima maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui satu beg silang mengandungi empat paket plastik berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 200.54 gram bernilai lebih RM22,000,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Jaafar turut mengingatkan orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah bagi membantu polis membanteras pengedaran bahan terlarang itu di daerah berkenaan.