STAR Gesa SPR Perluas Kemudahan Undi Pos Untuk Sabahan di Semenanjung

STAR Gesa SPR Perluas Kemudahan Undi Pos Untuk Sabahan di Semenanjung

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperluas kemudahan undi pos kepada pengundi Sabah yang tinggal dan bekerja di Semenanjung bagi memastikan proses pilihan raya di Malaysia lebih adil dan telus.

Ketua Penerangan STAR, Anuar Ghani berkata, dasar sedia ada yang membenarkan rakyat Malaysia di luar negara mengundi melalui pos tetapi tidak kepada warga Sabah di Semenanjung adalah tidak munasabah dan bersifat diskriminasi.

“Tidak masuk akal rakyat Malaysia di London atau Melbourne boleh undi pos, tetapi rakyat Sabah di Kuala Lumpur atau Johor tidak boleh. 

“Hak mengundi tidak sepatutnya terhalang oleh sempadan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu bukan kemudahan istimewa tetapi pembaharuan perlu bagi memastikan semua rakyat mempunyai akses sama rata terhadap proses demokrasi.

Anuar menyokong kenyataan Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang membangkitkan isu sama di Parlimen, dengan menyebut kira-kira 300,000 pengundi Sabah berada di Semenanjung dan berdepan kesukaran pulang mengundi kerana kos penerbangan yang tinggi.

“Undi pos untuk rakyat Sabah di Semenanjung bukan sahaja meningkatkan peratus keluar mengundi, malah memperkukuh keyakinan rakyat terhadap ketelusan pilihan raya,” katanya.

Anuar menegaskan penyertaan menyeluruh adalah asas kepada demokrasi yang adil.

“Tiada rakyat Malaysia patut dinafikan hak mengundi hanya kerana geografi. Jika kita benar-benar mahu perpaduan dan pilihan raya yang berwibawa, SPR mesti segera bertindak,” ujarnya.