KOTA KINABALU, SABAH – Profesor Datuk Dr Kasim Md Mansur secara rasmi telah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu dan pelantikannya berkuat kuasa bermula 3 Oktober ini.
Kementerian Pengajian Tinggi (IPT) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam memaklumkan mengenai pelantikan terbabit bagi menggantikan tempat Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.
“Berdasarkan reputasi kepimpinan institusi yang dimiliki, Kasim berkemampuan untuk membentuk jaringan hubungan kerja yang harmoni dengan semua pemegang taruh berkepentingan khususnya di Negeri Sabah…
“Kementerian juga yakin beliau mampu meneraju UMS sebagai salah sebuah universiti pilihan di peringkat nasional seterusnya melonjakkan kecemerlangan akademik secara keseluruhan.
“Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin atas jasa bakti beliau menerajui UMS sebelum ini,” kata kenyataan itu.
Kasim pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS selama lima tahun dari tahun 2009 hingga 2014.
“Beliau merupakan seorang tokoh akademik yang sangat disenangi dalam kalangan pegawai dan pelajar UMS…
“Di peringkat negeri Sabah pula, beliau memberi sumbangan yang signifikan kepada rakyat Sabah sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah dan Ahli Lembaga Institute For Development Studies Sabah,” jelas dalam kenyataan terbabit.
Kasim, 61 merupakan anak kelahiran Sabah dan berkelulusan ljazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan jazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dari Indiana State University, Terra Haute, Amerika Syarikat.
Kemudian beliau melanjutkan pengajian ke peringkat ljazah Kedoktoran dalam bidang yang sama di University of Wisconsin, Amerika Syarikat.