BEIJING, CHINA – Jangkitan COVID-19 di negara ini menyebabkan ramai pekerja melarikan diri daripada wabak kilang yang berlaku di kilang iPhone terbesar di dunia di tengah China itu.
Bertindak atas perkara demikian, pihak pengurusan kilang iPhone berkenaan memberitahu kakitangan bahawa ia akan menggandakan bonus mereka jika mereka kekal di kilang itu.
Memetik laporan AFP, kilang gergasi teknologi Taiwan Foxconn di Zhengzhou telah dikurung sejak pertengahan Oktober, dengan syarikat itu berkata, ia menguji pekerja setiap hari dan mengekalkan mereka dalam fasiliti tertutup.
Namun, aduan daripada pekerja yang tersebar di media sosial China mendakwa keadaan kerja yang buruk dan perlindungan virus yang tidak mencukupi untuk pekerja yang tidak dijangkiti.
“Saya hanya mengambil beg tangan, tiga peket mi segera, empat botol susu, dua botol air dan sedikit roti,” seorang pekerja Foxconn yang melarikan diri bernama Li Yan yang berjalan selama tiga jam selepas meninggalkan kemudahan itu memberitahu China Newsweek.
Video yang dikongsi dalam talian pada hujung minggu menunjukkan pekerja Foxconn melarikan diri dari kampus syarikat dan pulang ke kampung halaman mereka dengan berjalan kaki, dalam usaha untuk mengelakkan sekatan perjalanan COVID-19.
Kilang Foxconn di Zhengzhou dalam akaun WeChat rasminya berkata, bermula Selasa, pekerja akan menerima bonus harian sebanyak 400 yuan (RM260.50) kerana hadir bekerja – empat kali ganda subsidi sebelumnya sebanyak 100 yuan (RM65.12) sehari.
Kakitangan juga akan menerima bonus tambahan jika mereka menghadiri kerja selama 15 hari atau lebih pada bulan November, mencecah 15,000 yuan (RM9,767) jika mereka merekodkan kehadiran penuh bulan ini.
Seorang pengurus kilang yang tidak dinamakan memberitahu China Newsweek bahawa tiada jangkitan serius setakat ini, dan menegaskan bahawa wabak itu ‘boleh dikawal’.






