KK Berpotensi Jadi Bandar Mesra Warga Emas Sabah – Julita

KK Berpotensi Jadi Bandar Mesra Warga Emas Sabah – Julita

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kota Kinabalu berpotensi menjadi bandar peneraju dalam usaha mewujudkan komuniti mesra warga emas di Sabah, dengan usaha itu memerlukan penglibatan agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, keluarga, sektor perniagaan dan pertubuhan masyarakat, kata Datuk Julita Majungki.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah itu berkata visi yang diketengahkan oleh Malaysian Conference on Healthy Ageing (MCHA) adalah tepat pada masanya ketika Malaysia menuju ke arah masyarakat menua dan komuniti perlu bersedia menghadapi perubahan demografi.

Katanya, penuaan sihat tidak seharusnya dilihat dari sudut penjagaan kesihatan semata mata, sebaliknya turut merangkumi keterangkuman sosial, sokongan komuniti, kebebasan serta kualiti hidup.

Mewujudkan bandar mesra warga emas memerlukan pendekatan melibatkan seluruh komuniti, supaya warga emas dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah, kekal berdikari dan terus mengambil bahagian secara bermakna dalam masyarakat,” katanya ketika merasmikan Persidangan Malaysian Conference on Healthy Ageing (MCHA) Ke-11 di sini pada 11 September lalu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri, Datuk Rina Jainal.

Julita berkata perubahan profil demografi turut bermakna perhatian lebih besar perlu diberikan kepada bagaimana komuniti, ruang awam dan perkhidmatan dapat memenuhi keperluan warga emas dengan lebih baik.

Menurut anggaran penduduk 2025 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penduduk berusia 60 tahun dan ke atas kini merangkumi kira kira 12.6 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, dan angka itu dijangka mencapai 15 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Di bawah Dasar Warga Emas Negara, pencapaian ambang 15 peratus akan meletakkan Malaysia dalam kalangan negara menua.

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan pentingnya komuniti membuat persediaan lebih awal, dan tidak menunggu sehingga penuaan penduduk menjadi cabaran yang lebih ketara.

“Matlamatnya adalah untuk memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih panjang, sihat dan aktif, di samping terus mempunyai hubungan yang erat dengan keluarga dan komuniti,” katanya.