KOTA KINABALU: SMK Pulau Gaya terus menunjukkan komitmen tinggi dalam pembangunan sukan peringkat akar umbi menerusi penganjuran Hari Sukan Tahunan yang diadakan setiap tahun sebagai platform mencungkil bakat serta menyemai semangat kesukanan dalam kalangan pelajar.
Walaupun dikategorikan sebagai sekolah pulau, SMK Pulau Gaya tetap membuktikan bahawa faktor lokasi bukan penghalang kepada usaha memperkasa mutu sukan sekolah.
Pelbagai acara sukan yang dijalankan sepanjang kejohanan memperlihatkan penyertaan aktif dan semangat tinggi pelajar-pelajar dalam menyertai pertandingan yang dianjurkan.
Menurut Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran semangat kesukanan dalam kalangan pelajar jelas terpancar hasil bimbingan dan sokongan padu daripada guru-guru sukan yang komited, bukan sahaja dalam melatih pelajar, tetapi juga membina asas disiplin, kerjasama berpasukan dan daya saing sihat.
“Penganjuran Hari Sukan seperti ini sangat penting dalam usaha meningkatkan mutu sukan di peringkat sekolah. Ia juga menggalakkan pelajar lebih aktif mengambil bahagian dalam aktiviti luar kelas,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Kejohanan Sukan Tahunan SMK Pulau Gaya Kali ke-29 di sini pada Selasa.
Tambahnya lagi, walaupun sukan penting untuk perkembangan fizikal dan sosial pelajar, keseimbangan antara kokurikulum dan akademik tetap perlu diberi perhatian.
“Selepas tamatnya musim sukan, pelajar harus kembali memberi tumpuan kepada pelajaran. Kita mahu mereka cemerlang bukan sahaja di padang tetapi juga di dalam kelas,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar lebih ramai atlet muda dapat dilahirkan melalui program sukan sekolah, seterusnya berpeluang mewakili sekolah ke peringkat daerah dan negeri.
Menyentuh soal lokasi penganjuran kejohanan, beliau menyatakan bahawa kebanyakan acara sukan masih perlu diadakan di Kota Kinabalu kerana kekangan kemudahan sukan di Pulau Gaya.
Namun, pihak sekolah optimis dengan pembangunan sekolah baharu yang bakal dibina di pulau tersebut, termasuk kemungkinan penambahan fasiliti sukan yang lebih lengkap.
“Sekiranya fasiliti sukan tersedia di sekolah baharu nanti, kita berharap penganjuran sukan tahunan dapat diadakan sepenuhnya di Pulau Gaya sendiri. Ini sudah pasti akan memberi pengalaman berharga kepada pelajar di sana,” tambah beliau.
Hari Sukan Tahunan SMK Pulau Gaya sekali lagi membuktikan bahawa sukan sekolah bukan sekadar pertandingan, tetapi satu landasan penting dalam pembangunan sahsiah, semangat perpaduan dan pencarian bakat sukan generasi akan datang.






