Warga Emas Hilang Ditemui Selamat di Felda Sahabat 5, Lahad Datu

Warga Emas Hilang Ditemui Selamat di Felda Sahabat 5, Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Seorang warga emas bukan warganegara yang dilaporkan hilang sejak petang semalam di kawasan Felda Sahabat 5, Kampung Desa Kencana, Lahad Datu telah berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh ahli keluarganya pagi ini.

Mangsa, Rosmini Iskandar, 75, disedari hilang sekitar jam 1 petang semalam ketika berada di kawasan kebun sawit berhampiran rumahnya.

Usaha awal mencari oleh penduduk kampung tidak berhasil, sebelum panggilan kecemasan dibuat kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melalui sistem MERS999 pada jam 10.28 malam.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu yang diketuai oleh Mohd Akbar Mohambar bersama tiga anggota tiba di lokasi kira-kira jam 1.01 pagi tadi.

Operasi pencarian turut melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anak mangsa, dimulakan di lokasi terakhir mangsa dilihat iaitu kira-kira 200 meter dari rumahnya. Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan sekitar jam 1.33 pagi dan disambung semula pada awal pagi hari ini.

Menurut Komander Operasi, operasi SAR (Search and Rescue) hari kedua disambung seawal jam 6.12 pagi dengan kerjasama daripada seorang anggota APM, seorang anggota PDRM, serta 10 orang penduduk kampung. Radius pencarian diperluaskan sekitar 200 meter dari lokasi kehilangan.

Hasil usaha gigih semua pihak, mangsa akhirnya berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh ahli keluarganya sendiri pada jam 11.40 pagi, kira-kira 300 meter dari rumah. Tiada kecederaan serius dilaporkan dan mangsa terus diserahkan kepada keluarga untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.45 tengah hari setelah pasukan keselamatan memastikan tiada ancaman atau bahaya lain di kawasan sekitar.

JBPM Sabah menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat serta penduduk kampung atas kerjasama padu dalam memastikan keselamatan mangsa.