Lelaki Ugut Tikam Keluarga dan Bakar Rumah Adik Sendiri Ditahan Polis

Lelaki Ugut Tikam Keluarga dan Bakar Rumah Adik Sendiri Ditahan Polis

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes ugutan jenayah terhadap ahli keluarganya dalam kejadian yang berlaku di sekitar bandar Tawau, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek warga tempatan berusia 39 tahun yang juga penganggur ditahan kira-kira jam 1.00 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di kawasan kaki lima bangunan kedai di Jalan Haji Karim, Tawau.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 6 Mei yang lalu kira-kira jam 3.30 petang apabila suspek yang merupakan abang kepada mangsa dikatakan mengamuk terhadap ibunya dan ahli keluarga lain kerana tidak berpuas hati dengan jumlah wang yang diberikan kepadanya.

“Suspek turut mengeluarkan ugutan akan menikam ahli keluarga di rumah tersebut sambil mengacukan pisau dan menghubungi ibunya sekali lagi untuk membakar rumah adiknya,” kata ACP Jasmin.

Menurut beliau, tangkapan dilakukan susulan laporan polis yang dibuat mangsa pada 7 Mei 2025 kira-kira 12.08 tengah malam di Balai Polis Tawau.

Jelas ACP Jasmin, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sementara itu, hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah dan penipuan serta pernah dikehendaki polis bagi kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambah ACP Jasmin, beliau menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berlaku sebarang ugutan atau perlakuan agresif dalam ahli keluarga, khususnya yang melibatkan keselamatan nyawa.

“Jangan sesekali mengambil mudah terhadap ugutan, walaupun dilakukan oleh ahli keluarga sendiri. Nyawa dan keselamatan semua pihak perlu diutamakan. Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan orang lain,” tegas beliau.