Kos Barangan Naik, Masidi Saran Penduduk Ranau Tanam Makanan Sendiri

Kos Barangan Naik, Masidi Saran Penduduk Ranau Tanam Makanan Sendiri

0
SHARE
Pehing (Kapitan Cina), Hisyamudin Harun (PPM N38 Paginatan), Muhasip Hj Ruman (Ketua Daerah Ranau), Masidi, Hasinin Kinsim (Penolong Pegawai Daerah Ranau), Jupirin Hj Ruhimin (Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau), Datuk Hj Faimin (Pengerusi Peladang Kinabalu, Mantan SUT KPLB), Rosdi Ghani (PPM N37 Karanaan) semeja pada majlis itu...

RANAU, SABAH – Kos tambang barangan yang melambung sehingga 200 peratus antara punca kenaikan harga barang dan penduduk yang menghuni di atas tanah subur di sini dinasihati agar “melontarkan benih”.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tidak perlu membeli sayur kacang panjang jika kita boleh menanam sendiri.

“Baru-baru ini kabinet telah mengumumkan bahawa kemungkinan Kerajaan Negeri Sabah akan menghidupkan semula Lembaga Padi Sabah bagi menggalakkan pembukaan tanah yang lebih luas untuk tujuan penanaman padi.

“Sebanyak 75 peratus beras kita adalah diimport daripada luar negeri…

“Sekiranya terjadi apa-apa (perang), kita terpaksa makan apa sahaja yang ada kerana kita tidak dapat mengimport beras dari luar negeri,” katanya.

Belia berkata demikian dalam ucapan Majlis Hari Raya, Tadau Kaamatan dan Kesyukuran Pelantikan Pemegang Adat serta Pemimpin Masyarakat Kawasan DUN N.37 Karanaan pada Khamis.

Menurut beliau, tidak banyak kapal yang datang ke Sabah kerana tidak banyak barang yang boleh dieksport kerana kos yang terlalu besar.

“Cara menentukan kos pengangkutan bagi barang yang hendak dihantar ke Sabah adalah berdasarkan jumlah dan apa jenis barangan yang hendak dibawa ke tempat mereka.

“Kebiasaannya, banyak barangan yang dibawa masuk ke Sabah, tetapi amat sedikit barangan yang dibawa pergi (eksport). Sebab itu harga barang menjadi mahal.

“Selain itu masalah pandemik. Kontena-kontena yang sepatutnya digunakan untuk mengangkut barang belum digunakan.

“Kos pengangkutan ditentukan berdasarkan kontena yang disewa. Katakan sebuah kontena boleh memuatkan 10 buah kereta tetapi kita hanya mahu menghantar sebuah kereta, sebenarnya kita membayar kos untuk 10 buah kereta dan bukannya kereta kita sahaja.

“Oleh sebab itu, kita atau syarikat terpaksa mencari sembilan (9) lagi orang yang mahu menghantar kereta supaya kos tambang adalah lebih murah kerana setiap orang membayar bahagian masing-masing,” jelasnya.

Walaubagaimanapun, katanya, kerajaan tidak pernah menganiaya rakyat dan ada perkara yang diluar daripada kawalan pemerintah.

“Harga barangan bukanlah ditentukan oleh Kerajaan, tetapi ditentukan oleh keadaan semasa pasaran pada waktu itu,” tegasnya.

Beliau berkata masa depan Ranau bergantung kepada sikap penduduk itu sendiri dan bukan Kerajaan.

“Kerajaan cuma boleh membantu. Kerajaan boleh memberi peruntukan, tetapi orang Ranau sendiri yang akan menentukan bagaimana pembangunan itu nanti.

“Sekarang adalah masa untuk masa bekerja dan bukan masa berpolitik…

“Politik sudah berlalu pada tahun 2020 sewaktu pilihanraya Negeri.

“Setiap orang perlu bekerja keras, dan adalah diharapkan menjadi aspirasi setiap penduduk Ranau untuk memajukan Ranau.

“Semoga satu hari nanti kita boleh berkata dengan bangga bahawa kita pernah menyumbang sesuatu dalam menjadikan Ranau lebih maju,” tambah beliau.