SIPITANG, SABAH – Berbaki kurang seminggu menuju Sambutan 31 Ogos, Polis Kontinjen Sabah bersama rakan-rakan strategik terus menyemarakkan Bulan Kebangsaan melalui Program Kembara 2024.
Simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada 35 jabatan serta agensi kerajaan di daerah ini disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin serta isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni dalam majlis makan malam meraikan para peserta program tersebut di Dewan Serbaguna Sipitang.
Para penerima ialah Ketua Polis Daerah Sipitang, DSP Mail Sundugi, wakil Pengarah Hospital Sipitang, Dr Rafidah Mohd Abu Bakar dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Sipitang, Calvin Joe Jeafery.
Dalam pada itu, bagi memastikan semangat patriotisme dan sikap menghargai nikmat kemerdekaan di bumi bertuah kekal membara dalam sanubari rakyat, Tun Juhar juga menyerahkan lesen di bawah Program MyLesen Sabah Maju Jaya kepada 10 orang penerima.
Turut disampaikan, sijil penghargaan kepada rakan-rakan strategik yang menjayakan program bantuan lesen terbabit iaitu Pengerusi Yayasan Nur Jauhar, Brigedier Jeneral Datuk Al Hambra Juhar dan Pengarah Akademi Memandu Daerah Sipitang.
Selain dijamu dengan pelbagai jenis makanan, Sate Sipitang serta buah-buahan tempatan, majlis makan malam berkenaan turut dihiburkan oleh beberapa tetamu kenamaan yang diiringi Band Polis Kontinjen Sabah di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Inspektor Wilbono Zain.
Paling mengujakan, persembahan Ahli Parlimen Sipitang, Matbali Musah yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia dengan lagu “Berita Kepada Kawan”, Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA), Datuk Seri Hazani Ghazali “Semerah Padi” dan “Ku Miliki Bayangmu” serta anakanada Tun Juhar, Datin Al Hana Surya Juhar (Rindu).
Bagaimanapun, Dewan Serbaguna Sipitang semakin bergemuruh apabila Tun Juhar mendendangkan dua buah lagu “A Whiter Shade of Pale” dan “One Night of Sin” bersama-sama barisan tetamu kehormat antaranya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Kembara 2024 dianjurkan oleh Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersempena dengan Sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-71 Tun Juhar melibatkan konvoi lebih 150 buah motorsikal sejauh 310km dari IPK Sabah ke sempadan Sindumin-Merapok selama dua hari mulai Sabtu. — JABATAN PENERANGAN SABAH