Kembara 2024 Melabuhkan Tirainya

Kembara 2024 Melabuhkan Tirainya

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar mengetuai konvoi Kembara 2024 sebaik dilepaskan dari Balai Polis Bongawan menuju ke Kota Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Kembara 2024 melabuhkan tirainya dengan hentian terakhir di Balai Polis Bongawan yang terletak kira-kira 70.6km dari Pekan Sipitang, sebelum kembali ke ibu negeri, semalam.

Konvoi lebih 150 buah motorsikal berkuasa tinggi itu dilepaskan dari penginapan di Sipitang mulai jam 9.30 pagi dan tiba di pitstop akhir kira-kira jam 10.40 pagi dan disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr. Daud Yusof dan Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki.

Setibanya di lokasi, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni diiringi Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan isteri, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah menandatangani Buku Lawatan kemudian memotong kek Hari Jadi Rasmi ke-71.

Usai jamuan ringan, Tun Juhar mengetuai konvoi Kembara 2024 dan dilepaskan oleh Daud untuk melewati baki perjalanan kira-kira 70.7km dari Balai Polis Bongawan ke Istana Seri Kinabalu.

Kembara 2024 dianjurkan oleh Polis Kontinjen Sabah bersempena dengan Sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-71 Tun Juhar bermula di IPK Sabah ke sempadan Sindumin-Merapok melibatkan empat pitstop dengan jarak kira-kira 310km dan bermalam di Sipitang.

Sesungguhnya, Kembara 2024 menyediakan ruang untuk para pemimpin mendekati golongan muda yang meminati sukan bermotorsikal supaya mendorong mereka mengisi masa dengan aktiviti bermanfaat sekali gus menjauhi jenayah.

Di samping itu, program seumpama juga mencipta platform untuk golongan pemimpin menyantuni dan mendengar denyut nadi rakyat nun jauh di pedalaman, selaras dengan tagline PDRM, “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”. — JABATAN PENERANGAN SABAH